Kehebatan adik-beradik Marquez tidak dapat disangkal lagi apabila membuka aksi perlumbaan GoPro Grand Prix Aragon 2025 dengan penuh sengit pada pagi Jumaat, dan seperti dijangka, nama-nama besar turut tampil garang di awal sesi.
Di litar yang dianggap sebagai ‘rumah spiritual’ bagi Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) dan adiknya Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP), kedua-duanya mencuri perhatian apabila menguasai sesi pembukaan dengan menduduki tempat pertama dan kedua.
Marc Marquez tampil luar biasa apabila mencatat masa terpantas dengan catatan 1’46.974 saat, satu-satunya pelumba yang berjaya menembusi catatan 1’46 pada aksi petang tadi. Juara dunia enam kali itu menamatkan sesi dengan kelebihan lebih daripada satu saat ke atas pesaing terdekat, sekaligus membuktikan penguasaannya di Aragon masih belum pudar.
Alex Marquez pula memperbaiki catatannya di saat akhir dan berjaya mengekalkan kedudukan di P2, membuktikan kekuatan Gresini di litar ini. Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, yang baru sahaja muncul juara di Silverstone, terus mengekalkan momentum cemerlangnya dan menduduki P3, hanya 0.05s di belakang Alex.
Satu lagi pelumba yang menyerlah pada sesi latihan, Alex Rins yang mempunyai pengalaman luas di litar ini dengan kemenangan yang diperolehinya pada tahun 2020 membawa Yamaha ke kedudukan ke-4 dengan rentak pantas dan konsisten.
Tempat kelima pula menjadi milik pelumba Red Bull KTM Tech3, Maverick Viñales, menjadikan empat pengeluar berbeza berada dalam kelompok lima teratas satu petanda positif terhadap persaingan sengit musim ini.
Kekuatan KTM turut diteruskan oleh Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) yang menamatkan sesi di P6 selepas memperbaiki masa pada pusingan terakhirnya. Ini bermakna lima pengeluar berbeza kini mengisi tujuh tempat teratas selepas sesi pembukaan.
Pelumba Honda terbaik, Joan Mir (Honda HRC Castrol), berada di kedudukan ketujuh dan bersaing solo bagi pasukan kilang minggu ini susulan kecederaan Luca Marini. Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP) pula mengukuhkan prestasi pasukan dengan kedudukan ke-8, diikuti Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) di P9.
Juara dunia bertahan, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia (Ducati Lenovo Team), hanya mampu mencatat masa kesepuluh terbaik 1.5s di belakang rakan sepasukan dan pendahulu sesi, Marc Marquez.
Aksi MotoGP Aragon akan diteruskan dengan sesi Kelayakan 1 dan 2 bagi menentukan kedudukan di petak permulaan sebelum perlumbaan Sprint yang dijadualkan berlangsung esok sekitar 9 malam waktu Malaysia. Persoalannya kini, mampukah Marc Marquez mengulangi kejayaan gemilang di litar yang dianggap sebagai ‘rumahnya’? Atau mungkinkah ada kejutan luar jangkaan yang bakal mewarnai aksi hujung minggu ini?
Baca juga :


