Suspek Jual Pas Akses MotoGP Kepada Orang Awam Dicekup Polis

SEPANG: Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) memberi amaran kepada peminat sukan permotoran supaya tidak membeli pas akses acara daripada pihak tidak dikenali susulan penahanan seorang individu yang dipercayai terlibat dalam penjualan pas tidak sah bagi Petronas Grand Prix Malaysia.

Penahanan itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada malam Jumaat selepas SIC menjalankan siasatan dalaman berhubung aktiviti penjualan pas yang didakwa ditawarkan kepada orang awam menerusi saluran tidak rasmi.

SIC menjelaskan pas yang menjadi bahan jualan berkenaan sebenarnya dikhaskan untuk kegunaan petugas dan individu yang mempunyai urusan rasmi sepanjang penganjuran perlumbaan MotoGP di Sepang.

Menurut SIC, semua akses khas ke kawasan operasi acara dikawal ketat dan tidak boleh dipindah milik atau dijual kepada mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Kes itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai aktiviti penjualan tiket dan pas palsu yang sering berlaku menjelang acara sukan bertaraf antarabangsa.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan, peminat diingatkan supaya hanya mendapatkan tiket melalui saluran rasmi SIC dan mengelakkan urusan pembelian menerusi individu persendirian atau tawaran yang mencurigakan di media sosial.

Sementara itu, SIC turut menafikan dakwaan yang tular di platform dalam talian yang mengaitkan seorang individu bernama Aqil dengan insiden berkenaan.

Sebaliknya, pihak litar menjelaskan suspek yang ditahan adalah seorang kakitangan sementara yang diambil khas bagi membantu operasi sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Tindakan undang-undang terhadap individu terbabit kini sedang berjalan, manakala SIC memberi jaminan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan integriti penganjuran Grand Prix Malaysia terpelihara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related