SEPANG, 24 September 2026 – Rapid KL, dengan kerjasama Sepang International Circuit (SIC), akan menyediakan perkhidmatan bas perantara khas percuma sempena acara perlumbaan antarabangsa yang bakal berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.
Rapid KL akan menyediakan sebanyak 95 buah bas bagi perkhidmatan bas perantara khas secara ulang-alik (loop service), sekali gus memastikan pergerakan pengunjung dari lokasi tumpuan ke kawasan acara dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan selesa.
Perkhidmatan bas perantara khas ke Litar Antarabangsa Sepang ini akan disediakan dari lokasi-lokasi berikut:
HUB Bas Aras 1, KLIA Terminal 2
HUB Bas, Mitsui KLIA
De-Village, Persiaran Miilenia 2, Bandar Baru Enstek

Bagi melengkapkan perkhidmatan tersebut, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara dalam kawasan litar bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi utama.
Waktu operasi perkhidmatan adalah seperti berikut:

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Syahrul Azmir Ahmad Zaki, berkata penyediaan perkhidmatan tersebut mencerminkan komitmen Rapid KL dalam menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Penganjuran acara perlumbaan berprestij antarabangsa di Sepang International Circuit ini merupakan detik yang amat dinantikan oleh para peminat sukan permotoran tanah air. Rapid KL berbangga dapat bekerjasama dalam menjayakan acara ini dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membantu memudahkan pergerakan pengunjung,” katanya.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat, kesemua bas akan menjalani pemeriksaan keselamatan serta dipantau secara berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan. Pasukan petugas Rapid KL turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sekitar kawasan acara bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.
Pengunjung dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas dan beratur ketika menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan. Maklumat lanjut mengenai laluan dan jadual operasi perkhidmatan bas perantara boleh diperoleh menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi Rapid KL.


