Menjelang penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober depan, antara perkara menarik untuk diberi perhatian ialah pengurusan perlumbaan, khususnya melibatkan marshall dan pasukan perubatan.
Dari segi kemampuan kewangan dan sumber manusia, Bahrain International Circuit (BIC) sememangnya tidak mempunyai masalah untuk membawa tenaga kerja mereka sendiri bagi membantu menguruskan perlumbaan di Sepang.
Menurut sumber yang rapat dengan perkembangan tersebut, BIC bersedia menerbangkan kira-kira 250 marshall dari Bahrain ke Malaysia. Bagaimanapun, jumlah serta komposisi tenaga kerja masih dalam perbincangan dan dijangka diputuskan minggu ini dengan kehadiran pihak FIA di SIC.
Namun, kehadiran marshall dari Bahrain tidak bermaksud Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk mengendalikan perlumbaan Formula 1.
Sebaliknya, marshall tempatan sememangnya mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk menguruskan perlumbaan bertaraf dunia. Apa yang diperlukan hanyalah kursus penyegaran serta latihan khusus untuk mengemas kini pengetahuan berkaitan prosedur dan operasi Formula 1 moden.
Perlumbaan terakhir F1 di Sepang pada 2017 berlaku hampir sedekad lalu. Justeru, terdapat beberapa perubahan besar dari segi prosedur perlumbaan, teknologi dan pengurusan jentera yang perlu diperbaharui dari aspek pengetahuan. Termasuklah pemahaman mengenai power unit moden.
Tetapi hakikatnya, power unit bukanlah cabaran utama dan bukan sesuatu yang tidak mampu dipelajari oleh marshall tempatan. Dengan latihan serta penyegaran yang betul, marshall Malaysia mampu kembali mengendalikan perlumbaan F1 mengikut piawaian FIA.
Sebelum ini, Motorsports Association of Malaysia (MAM) sendiri menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menyediakan kekuatan marshall tempatan dengan kerjasama SIC bagi mengendalikan acara sebesar Formula 1.
Dalam masa sama, sebahagian pihak BIC dilaporkan sudah berada di SIC bagi membuat persiapan awal selepas pengumuman penganjuran F1 dibuat.
Bagi aspek perubatan pula, BIC dijangka menggunakan khidmat pasukan tempatan yang diketuai Kolonel Dr Saravanan, bersama beberapa pakar seperti Dr Syarifah Fetom dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perlumbaan bertaraf dunia.
Koordinasi turut membabitkan aset serta agensi negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM bagi memastikan aspek keselamatan serta tindak balas kecemasan berada pada tahap terbaik.
Jadi, persoalan sebenar bukanlah sama ada Malaysia mampu atau tidak mengendalikan F1.
Malaysia mempunyai manusia, pengalaman dan kepakaran.
Persoalannya ialah berapa banyak tenaga tempatan yang akan diberi ruang untuk memainkan peranan dalam penganjuran F1 kali ini.
🎙️ Dengarkan podcast Tarmac Sports bersama Kolonel Dr Saravanan di YouTube.
Baca juga mengenai Energy Management di sini:


