LTdL 2026: Kurang Pasukan, Tetapi Kualiti Perlumbaan Kekal Bertaraf Dunia

KUALA LUMPUR: Edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bakal menampilkan 20 pasukan dari pelbagai negara, dengan dua pasukan berstatus WorldTeam dan lapan ProTeam menjadi antara tarikan utama perlumbaan yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Walaupun jumlah penyertaan berkurang berbanding 22 pasukan pada edisi tahun lalu, komposisi LTdL 2026 masih cukup kuat untuk menjanjikan persaingan bertaraf antarabangsa.

Dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan ialah XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda. Turut menyertai saingan ialah lapan pasukan ProTeam iaitu Tudor Pro Cycling Team, Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma, Burgos-Burpellet, TotalEnergies, Unibet Rose Rockets, Bardiani CSF-Sauber serta pasukan baharu dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling.

Sembilan pasukan Continental pula terdiri daripada Terengganu Cycling Team, Malaysia Pro Cycling, Thailand Continental Cycling Team, 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines, Nusantara Cycling Team, WheelTopRotor Chengdu Cycling Team, Aisan Racing Team, KSPO dan St George Continental Cycling Team, selain pasukan kebangsaan Malaysia.

Pengurangan dua pasukan berbanding edisi lalu bukan bermakna LTdL kehilangan daya tarikan. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada langkah penjimatan yang mengambil kira keadaan ekonomi dan geopolitik semasa.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, LTdL membuat penjimatan terutama melalui pengurangan kos appearance fee dan travel allowance pasukan WorldTeam. Permintaan penyertaan daripada EF Education dan Uno-X turut ditolak selepas Astana dan Picnic PostNL terlebih dahulu mengesahkan penyertaan.

Langkah penjimatan turut menyaksikan laluan di Pulau Langkawi tidak disenaraikan untuk edisi kali ini kerana kos logistik yang tinggi.

Namun, perkara paling menarik mengenai LTdL 2026 ialah kualiti pasukan yang masih kekal tinggi walaupun jumlah keseluruhan dikurangkan.

Daripada 10 pasukan WorldTeam dan ProTeam yang beraksi, sebahagiannya mempunyai pengalaman beraksi dalam tiga Grand Tour utama dunia — Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a España.

Astana, Picnic PostNL dan Tudor merupakan antara pasukan yang beraksi dalam ketiga-tiga Grand Tour, manakala TotalEnergies dan Caja Rural turut mempunyai pengalaman dalam perlumbaan elit tersebut.
Ini menjadikan LTdL 2026 lebih daripada sekadar perlumbaan hujung musim.

Dengan mata UCI yang masih menjadi taruhan, setiap pasukan mempunyai sebab untuk menurunkan barisan kompetitif. Lebih-lebih lagi apabila LTdL tahun ini hadir dengan laluan yang dianggap antara paling mencabar dalam sejarah perlumbaan.

Tiga pendakian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands dijangka menjadi medan penting untuk pelumba yang memburu kemenangan keseluruhan.

Dalam masa sama, kehadiran Modern Adventure Pro Cycling turut memberikan dimensi baharu kepada perlumbaan. Pasukan dari Amerika Syarikat itu baru ditubuhkan tahun ini dan dibimbing legenda berbasikal dunia, George Hincapie, yang pernah menjadi pembantu kepada nama besar seperti Lance Armstrong, Alberto Contador dan Cadel Evans.

Dengan faktor laluan, mata UCI dan reputasi pasukan yang bertanding, senarai pelumba sebenar yang bakal diturunkan menjadi sesuatu yang wajar dinantikan.

Malah, MSN menjangkakan beberapa pasukan masih boleh mengubah senarai pelumba pada saat akhir bagi membawa kombinasi terbaik mereka ke Malaysia.

LTdL 2026 akan bermula di Shah Alam pada 27 September dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, merangkumi lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.

Kurang dua pasukan berbanding tahun lalu, tetapi bukan bermakna kurang persaingan.
Sebaliknya, LTdL 2026 memperlihatkan satu realiti penting dalam penganjuran sukan antarabangsa — apabila kos perlu dikawal, fokus akhirnya adalah memastikan nilai dan kualiti pertandingan terus dipertahankan.

—

SENARAI PASUKAN LTdL 2026

UCI WORLDTEAMS

  1. XDS Astana (Kazakhstan)
  2. Picnic PostNL (Belanda)

UCI PROTEAMS

  1. Tudor Pro Cycling Team (Switzerland)
  2. Caja Rural-Seguros RGA (Sepanyol)
  3. Equipo Kern Pharma (Sepanyol)
  4. Burgos-Burpellet (Sepanyol)
  5. TotalEnergies (Perancis)
  6. Unibet Rose Rockets (Perancis)
  7. Bardiani CSF-Sauber (Itali)
  8. Modern Adventure Pro Cycling (Amerika Syarikat)

UCI CONTINENTAL

  1. Terengganu Cycling Team (Malaysia)
  2. Malaysia Pro Cycling (Malaysia)
  3. Thailand Continental Cycling Team (Thailand)
  4. 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina)
  5. Nusantara Cycling Team (Indonesia)
  6. WheelTopRotor Chengdu Cycling Team (China)
  7. Aisan Racing Team (Jepun)
  8. KSPO (Korea Selatan)
  9. St George Continental Cycling Team (Australia)

PASUKAN KEBANGSAAN

  1. Malaysia National Team

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related