BK8 Gresini Racing MotoGP bukan sahaja mengesahkan lanjutan kerjasama bersama Ducati Corse menjelang musim 2027, malah turut memperkenalkan Joan Mir dan Daniel Holgado sebagai gandingan baharu pasukan untuk menghadapi peraturan teknikal baharu MotoGP.
Pengumuman itu turut mengesahkan bahawa pasukan milik Nadia Padovani akan meneruskan kerjasama bersama Ducati Corse menerusi perjanjian baharu, sekali gus terus menggunakan jentera Ducati memasuki era perubahan peraturan teknikal bermula musim 2027.
Holgado menjadi pelumba rookie pertama yang disahkan menyertai MotoGP bagi musim 2027 selepas diberi kepercayaan untuk dinaikkan daripada saingan Moto2.
Pelumba Sepanyol berusia 21 tahun itu tampil dengan reputasi cemerlang selepas memenangi empat perlumbaan Moto3 sebelum beralih ke Moto2. Sehingga kini, beliau telah mengumpul tiga kemenangan Grand Prix dalam Moto2, selain dinobatkan sebagai Rookie of the Year 2025 selepas menamatkan musim di kedudukan keenam keseluruhan dengan lima penamat podium, termasuk dua kemenangan.
Bagi musim 2026, Holgado turut meneruskan prestasi konsisten apabila meraih satu kemenangan dan satu lagi penamat podium, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek paling menyerlah dalam Moto2.
Mengulas mengenai peluang tersebut, Holgado mengakui impiannya akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya sangat gembira dapat menyertai projek MotoGP BK8 Gresini Racing. Berlumba dalam kelas premier merupakan impian sepanjang hidup saya, dan dapat melakukannya bersama pasukan seperti ini menjadikannya lebih istimewa.
“Saya sedar cabaran yang bakal dihadapi amat besar, namun saya bersedia untuk terus berkembang sebagai pelumba dan juga sebagai individu. Terima kasih kepada pasukan, keluarga serta semua yang sentiasa mempercayai saya,” katanya.
Dalam masa sama, Gresini turut mengumumkan ketibaan Joan Mir yang akan meninggalkan Honda HRC Castrol selepas empat musim bersama pengeluar Jepun itu.
Sepanjang bersama Honda, Mir berjaya meraih dua penamat podium meskipun berdepan beberapa musim yang mencabar. Kini, juara dunia MotoGP 2020 itu berharap dapat menghidupkan semula kariernya bersama Ducati.
Lebih menarik, Mir akan diberikan jentera Ducati Desmosedici spesifikasi kilang, sama seperti yang bakal digunakan oleh Marc Marquez dan Pedro Acosta bersama Ducati Lenovo Team pada musim 2027.
Setakat ini, Mir telah mengumpul 15 podium MotoGP sepanjang kariernya selain muncul juara dunia pada musim 2020 dan menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan pada musim berikutnya.
Pemilik Gresini Racing, Nadia Padovani, percaya kombinasi Mir dan Holgado mampu membawa pasukan itu terus bersaing di kelompok hadapan.
“Mulai tahun depan banyak perkara akan berubah, namun identiti BK8 Gresini Racing akan kekal sama. Kami mahu terus berkembang setiap musim dan kami yakin dengan dua pelumba ini.
“Daniel merupakan pelumba yang telah lama kami pantau dan kami gembira beliau akan memulakan musim rookie MotoGP bersama kami. Joan pula ialah seorang juara dunia MotoGP yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang berada di permulaan perjalanan, manakala seorang lagi mahu mengembalikan prestasi terbaiknya.
“Kami juga gembira dapat meneruskan kerjasama bersama Ducati Corse yang selama ini terbukti sebagai rakan kongsi yang berjaya dan boleh dipercayai,” katanya.
Padovani dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Alex Marquez dan Fermin Aldeguer, yang akan meninggalkan Gresini pada penghujung musim ini selepas banyak menyumbang kepada kejayaan pasukan, baik dari segi keputusan di litar mahupun hubungan erat dalam pasukan.


