Hakim Danish Akan Memulakan Perlumbaan Dari P18 Di Mandalika

Pelumba negara, Hakim Danish, akan memulakan perlumbaan Moto3 di Grand Prix Indonesia dari petak ke-18 (1:39.619) selepas mengharungi sesi kelayakan yang mencabar di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia.

Pelumba Terengganu tersebut berdepan hujung minggu yang sukar sejak hari pertama apabila masih mencari rentak terbaik, selain mengalami insiden highside di Selekoh 11 ketika sesi latihan semalam yang menyebabkan beliau terpaksa melalui sesi Kelayakan 1 (Q1).

Bagaimanapun, pelumba muda itu berjaya bangkit apabila melepasi Q1 untuk melayakkan diri ke Q2. Dalam sesi tersebut, Danish akui beliau berdepan saingan sengit daripada pelumba-pelumba terpantas, sebelum menamatkan sesi di kedudukan ke-18.

“Saya bekerja keras dalam Q1 untuk melayakkan diri ke Q2 dan berjaya melakukannya. Dalam Q2 pula, cabarannya lebih besar kerana ramai pelumba yang sangat laju. Saya cuba meningkatkan kelajuan saya, tetapi masih ada beberapa bahagian litar yang perlu diperbaiki,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan berangin yang ketara terutama di sektor ketiga litar, Danish menjelaskan faktor tersebut bukanlah isu utama yang menjejaskan prestasinya.

“Angin memang memberi kesan kepada semua pelumba. Memang ada sedikit kesukaran untuk memperbaiki catatan masa kerana faktor itu, tetapi bagi saya ia bukan masalah utama. Masih ada beberapa selekoh yang saya perlu pertingkatkan lagi prestasi,” katanya.

Danish turut mengakui masih berdepan cabaran untuk mendapatkan tahap cengkaman yang diinginkan di Mandalika dan sedang bekerjasama dengan pasukan untuk mencari tetapan motosikal yang lebih sesuai.

“Dari segi grip, saya agak bergelut minggu ini. Saya dan pasukan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan grip dan mendapatkan tetapan jenterayang lebih baik,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada punca utama masalah yang dihadapi sudah dikenal pasti, Danish mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Saya masih perlu terus mencari jalan untuk memperbaiki prestasi. Masih ada banyak perkara yang boleh diperbaiki,” katanya.

Di hadapan, Brian Uriarte berjaya merangkul pole position untuk Grand Prix Indonesia, diikuti David Almansa dan Alvaro Carpe di barisan pertama. Rakan sepasukan Danish, Ryusei Yamanaka pula akan memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-11. Aksi Moto3 di Mandalika dijadual bermula pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related