Hujung minggu Grand Prix (GP) Catalunya Moto3 menyaksikan persaingan sengit sejak sesi latihan hingga ke kelayakan, dengan pelumba Malaysia, Hakim Danish Ramli sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengekalkan prestasi konsisten dalam kelompok 10 terbaik hari ini.
Dalam sesi kelayakan Q2, Valentin Perrone dari Red Bull KTM Tech3 muncul paling pantas untuk meraih petak pole selepas mencatat 1 minit 46.679 saat, hanya 0.005 saat di hadapan David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP). Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) melengkapkan barisan hadapan di tempat ketiga.
Saingan menuju sesi penentuan turut berlangsung sengit apabila beberapa pelumba berdepan cabaran, termasuk insiden bendera kuning yang menjejaskan lap pantas serta beberapa kemalangan yang mengganggu momentum pencabar utama.
Tempo perlumbaan semakin meningkat apabila nama-nama besar seperti Maximo Quiles, Adrian Fernandez dan Muñoz sendiri berada dalam kelompok hadapan, menjadikan perebutan grid lebih terbuka hingga ke saat akhir.
Pertarungan Q2 benar-benar dramatik apabila kedudukan sentiasa berubah sehingga bendera penamat dikibarkan, dengan beberapa pelumba terlepas peluang untuk merebut barisan hadapan pada saat akhir.
Pelumba sulung negara, Hakim Danish Ramli pula akan memulakan perlumbaan dari petak ke-10 selepas mencatat masa 1 minit 47.058 saat dalam sesi kelayakan tersebut.
Ia sekali lagi menandakan pencapaian penting buat pelumba muda itu apabila berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik kali ketiga musim ini selepas GP Brazil dan GP Sepanyol.
Sebelum sesi kelayakan, Hakim terlebih dahulu mencuri perhatian pada hari Jumaat apabila tampil cemerlang dengan mendominasi sesi latihan bersama pasukan AEON Credit-MT Helmet-MSI. Beliau mencatat 1 minit 46.943 saat, sekaligus menjadi satu-satunya pelumba Moto3 yang menembusi catatan 1 minit 46 saat pada hari tersebut. Danish membara sesi hari jumaat
Prestasi konsisten itu turut meletakkan Hakim di kedudukan teratas dalam FP1 dan Practice, mengesahkan statusnya sebagai antara pelumba terpantas sepanjang awal hujung minggu di Catalunya.
Setakat lima pusingan musim ini, Hakim telah mengumpul 18 mata, dengan keputusan terbaik menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 di GP Brazil dan GP Perancis.


