Manuel Lettenbichler memulakan kempen FIM Hard Enduro World Championship 2026 dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan di perlumbaan pembukaan, Alestrem, Perancis.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu mempamerkan prestasi konsisten sepanjang hujung minggu untuk mengutip mata penting dalam usaha memburu gelaran dunia kelima berturut-turut.
Lettenbichler terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas dalam ujian Xtrem pada Jumaat, sekali gus mengutip mata maksimum.
Momentum itu diteruskan pada Sabtu apabila dia memenangi heat dalam Minerva Prologue sebelum menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan, memberikan posisi permulaan yang baik untuk perlumbaan utama.
Dalam perlumbaan utama Alestrem, pelumba Jerman itu segera berada di kelompok hadapan, naik ke tempat kedua seawal pusingan pertama sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu pada pusingan kedua.
Dengan rentak yang konsisten, Lettenbichler dilihat mengawal perlumbaan, namun keadaan trek menjadi semakin mencabar susulan hujan lebat yang memaksa perlumbaan dipendekkan satu pusingan. Walaupun berdepan permukaan licin dan sukar, beliau berjaya mengharungi cabaran dengan baik untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama menggunakan jentera KTM 300 EXC.
“Ini permulaan yang hebat untuk musim ini dengan kemenangan di Alestrem. Keadaan berubah-ubah sepanjang hujung minggu, terutama dalam perlumbaan utama selepas hujan.
“Saya rasa selesa sejak awal dan dapat mengawal perlumbaan, tetapi apabila keadaan semakin sukar, fokus menjadi sangat penting. Saya gembira dengan cara saya mengendalikan situasi ini,” kata Lettenbichler.
Selepas pusingan pertama, Lettenbichler kini berada di tangga kedua keseluruhan kejuaraan dengan hanya satu mata di belakang pendahulu, Billy Bolt. Tempat ketiga pula menjadi milik Teodor Kabakchiev. Saingan seterusnya akan berlangsung di Portugal menerusi perlumbaan Extreme Lagares pada 1 hingga 3 Mei, di mana Lettenbichler dijangka meneruskan momentum cemerlangnya.


