Cuaca cerah di Litar Antarabangsa Sepang nyata memberi kelebihan kepada Manuel Gonzalez (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) apabila pelumba Sepanyol itu menamatkan sesi latihan bebas Moto2 pada hari Jumaat di kedudukan teratas.
Gonzalez yang kini mendahului kejuaraan dunia, mencatat masa terpantas di penghujung sesi dan bakal menjadikan hujung minggu ini peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta kejuaraan, selepas jurang mata dengan pencabar terdekatnya Diogo Moreira (Italtrans Racing Team) semakin mengecil dalam beberapa pusingan terakhir.
Gonzalez hampir mengalami kemalangan besar apabila bahagian hadapan jentera kehilangan cengkaman di selekoh terakhir pertengahan sesi, namun pelumba berusia 22 tahun itu berjaya mengawal motosikalnya dengan cemerlang untuk terus kekal di atas trek bukti kematangan dan ketenangan sebagai pendahulu kejuaraan. Kejayaan menamatkan hari pertama di kedudukan pertama memberi isyarat jelas bahawa Gonzalez sudah bersedia menghadapi cabaran sengit pada sesi kelayakan esok.
Tempat kedua menjadi milik Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) yang menampilkan prestasi konsisten sebagai pelumba Boscoscuro terpantas, manakala Albert Arenas (ITALJET Gresini Moto2) menamatkan sesi di kedudukan ketiga selepas mempamerkan peningkatan ketara di penghujung latihan.
Pelumba Belgium, Barry Baltus (Fantic Racing), turut menyerlah di tempat keempat selepas melonjak daripada luar kelompok 14 terbaik untuk mencatat dua pusingan terpantas berturut-turut. Di belakangnya, Daniel Holgado menamatkan sesi di tempat kelima diikuti rakan sepasukan David Alonso, menjadikan hari pertama yang positif buat pasukan tersebut.
Insiden kecil turut berlaku pada penghujung sesi apabila Aron Canet (Fantic Racing) hampir bertembung dengan Mario Aji (Idemitsu Honda Team Asia) di Selekoh 1, selepas Canet dilihat terlalu fokus memeriksa skrin besar untuk melihat kedudukannya.
Beliau menamatkan sesi di tempat ketujuh, satu anak tangga di hadapan Alex Escrig (KLINT Forward Factory Team), sementara Tony Arbolino (BLU CRU Pramac Yamaha Moto2) menamatkan sesi di tempat kesembilan. Pesaing kejuaraan, Diogo Moreira, pula berada di tempat ke-10 cukup untuk layak ke sesi kelayakan Q2 secara automatik.
Beberapa nama besar bagaimanapun terlepas peluang mara terus ke Q2. Antaranya, Senna Agius (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP), juara GP Australia yang hanya mampu berada di tempat ke-15, diikuti Ivan Ortola (QJMOTOR – FRINSA – MSI) di tempat ke-16. Sementara itu, duo pasukan Sync SpeedRS Team, Alonso Lopez dan Celestino Vietti, juga perlu melalui saingan Q1 shootout bagi merebut tempat ke pusingan seterusnya.
Dengan catatan masa yang begitu rapat dan suhu litar yang mencabar, sesi kelayakan esok dijangka menjadi pertarungan sengit antara pelumba utama, terutama antara Gonzalez dan Moreira yang terus bersaing rapat dalam perebutan gelaran Juara Dunia Moto2 2025.
Baca juga:


