Sepang, 15 Oktober 2025 — AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) meneruskan komitmennya terhadap pembangunan sukan permotoran negara dengan menaja penyertaan pelumba muda negara, Hakim Danish, bagi slot wildcard kelas Moto3™ di PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025.
Majlis pengumuman rasmi pasukan AEON Credit SIC Racing MSI diadakan hari ini di PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) dan disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, bersama wakil-wakil daripada AEON Credit, SIC dan ZK Racing Sdn. Bhd. (ZK Racing).
Majlis tersebut turut menyaksikan upacara tanda tangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara AEON Credit dan ZK Racing bagi memeterai satu perkongsian strategik ke arah pembangunan sukan permotoran Malaysia menerusi Blueprint Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV) pelan pembangunan bakat dua roda yang dibangunkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC.
Usaha ini memperkukuh lagi hubungan strategik antara AEON Credit dan SIC yang sedia terjalin sebagai Rakan Rasmi Litar (Official Circuit Partner). Melalui Surat Persefahaman (LOU) yang dimeterai sebelum ini antara Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif SIC dan Daisuke Maeda, Pengarah Urusan AEON Credit, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara serta memperkasa bakat tempatan.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh turut menzahirkan penghargaan bagi sektor swasta yang turut memberikan sumbangan dalam pembangunan sukan permotoran negara.
“Penyertaan wildcard Hakim Danish melambangkan keyakinan Malaysia terhadap potensi besar yang boleh dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti sukan permotoran berganding bahu. Sokongan daripada AEON Credit ialah contoh terbaik bagaimana sektor korporat mampu memberi impak besar.
“Sumbangan ini bukan sahaja membantu pelumba seperti Hakim Danish melangkah lebih jauh, malah memberi inspirasi kepada belia bahawa impian besar boleh direalisasikan,” ” ujarnya ketika sesi sidang media di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (PSIC) pagi ini.
Beliau turut berharap lebih banyak syarikat akan tampil menyertai usaha pembangunan bakat seperti ini pada masa hadapan.Dalam masa yang sama, KBS turut memperuntukkan RM3 juta bagi Program MDEV Berprestasi Tinggi 2025 dengan tambahan RM1 juta untuk menyokong penyertaan Hakim Danish dalam FIM JuniorGP World Championship 2025 melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Selaras dengan aspirasi nasional ini, AEON Credit turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi menyokong penampilan wildcard Hakim Danish di Moto3™ langkah pertama syarikat itu ke dunia sukan permotoran, sekaligus memperkukuh komitmen jangka panjang terhadap pembangunan belia.
“Kerjasama ini melangkaui penajaan semata-mata kerana ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap disiplin, semangat dan peluang yang diwujudkan melalui sukan. Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada belia Malaysia yang mungkin tidak berkemampuan dari segi kewangan tetapi mempunyai semangat dan tekad untuk berjaya.
“Sukan permotoran mencerminkan nilai-nilai yang kami junjung di AEON Credit. Ketabahan, semangat dan keunggulan,” ujar Pengerusi AEON Credit, Ng Eng Kiat.


