Selepas Grand Prix Hungary, Yamaha Motor Racing akhirnya mengesahkan langkah bersejarah mereka dalam MotoGP apabila bakal memperkenalkan enjin V4 baharu pada Grand Prix San Marino (Misano) September ini.
Pelumba ujian mereka, Augusto Fernández, dipilih untuk menunggang jentera M1 prototaip dengan enjin revolusioner tersebut pada pusingan ke-16 musim 2025.
Projek enjin V4 Yamaha mula menjadi perhatian sejak diumumkan pada September tahun lalu. Ujian pertama dijalankan di Circuit Ricardo Tormo, Valencia, sebelum sesi lanjutan dilakukan di Circuit de Barcelona-Catalunya awal tahun ini.
Menurut laporan Paddock-GP, Augusto Fernández merupakan pelumba pertama yang mencuba jentera tersebut, dengan fokus utama untuk menilai kestabilan, prestasi enjin, dan keserasian dengan rangka M1 sedia ada.
Selain itu, Yamaha turut menjalankan ujian tertutup di beberapa litar Eropah lain, termasuk Brno, sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh mereka.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio, dalam pengumumannya di media sosial berkata:
“Untuk Misano, kami sasarkan Augusto Fernández akan berlumba dengan prototaip M1 V4 buat pertama kalinya. Ini adalah pratonton penting serta tanda konkrit komitmen kami terhadap masa depan, sambil kami terus berusaha mendapatkan keputusan yang terbaik daripada setiap perlumbaan,” jelasnya.
Kenyataan ini memberi gambaran jelas bahawa Yamaha tidak hanya fokus pada jangka pendek, tetapi juga dalam usaha mempersiapkan jentera kompetitif menjelang musim 2026.
Langkah ini dianggap signifikan kerana sejak sekian lama, Yamaha hanya bergantung kepada konfigurasi inline-four, berbeza dengan kebanyakan pasukan pesaing utama seperti Ducati, KTM, dan Honda yang sudah lama menggunakan V4.
Menurut laporan Crash.net, Yamaha hanya akan teruskan penggunaan enjin V4 secara rasmi dalam perlumbaan penuh sekiranya ia terbukti lebih kompetitif berbanding enjin sedia ada.
Debut enjin V4 di Misano bakal menjadi detik penting dalam sejarah Yamaha di MotoGP. Keputusan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu bagi pasukan biru tersebut, tetapi juga berpotensi mengubah landskap persaingan di grid premier.
Dengan Ducati terus mendominasi era moden MotoGP melalui teknologi V4 mereka, langkah Yamaha ini dilihat sebagai usaha untuk kembali menjadi pesaing utama, sekaligus menghidupkan semula persaingan klasik yang dinantikan peminat sukan permotoran.
Baca juga:


