Pelumba muda sensasi Brazil, Diogo Moreira (Italtrans Racing Team) meneruskan rentak cemerlang apabila menguasai sesi kelayakan (Q2) Moto2 di GP Hungary dengan catatan masa terpantas pada petang Sabtu.
Moreira menutup Q2 dengan kelebihan tipis hanya 0.050 saat mengatasi Zonta van den Goorbergh (RW–Idrofoglia Racing GP).
Pendahulu kejuaraan, Manuel Gonzalez (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) turut memastikan dirinya kekal kompetitif apabila menamatkan sesi di petak ketiga. Gonzalez hanya mendahului Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) dengan beza 0.001 saat, sekaligus melengkapkan barisan hadapan.
Masuk saat-saat akhir Q2, Moreira menjadi penanda aras masa meskipun beberapa sektor merah muncul di papan catatan. Van den Goorbergh dan Dixon kelihatan berpotensi besar untuk memintas, namun kedua-duanya gagal menewaskan catatan masa pelumba Brazil itu.
Rookie Collin Veijer (Red Bull KTM Ajo) mencuri perhatian apabila menamatkan kelayakan di Petak 5, hanya 0.137 saat di belakang Moreira. Barisan kedua dilengkapkan oleh Aron Canet (Fantic Racing Lino Sonego), manakala dua pendatang baru lain, Dani Holgado dan David Alonso (CFMoto Inde Aspar Team) menduduki barisan ketiga bersama Ayumu Sasaki (RW–Idrofoglia Racing GP).
Juara GP Brno, Joe Roberts (OnlyFans American Racing) terpaksa berpuas hati sekadar menamatkan perlumbaan di P13, sementara rakan Q1-nya, Barry Baltus (Fantic Racing Lino Sonego) yang masih mencari momentum terbaiknya menutup sesi di Petak 15.
Moto2 akan membuka tirai perlumbaan GP Hungary pada hari Ahad jam 12:15 tengah hari (UTC+2) dengan semua tumpuan kini tertumpu kepada Moreira, yang bakal berusaha untuk terus mengurangkan jurang mata bagi merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dan memberi tekanan baharu kepada Manuel Gonzalez.
Berikut merupakan kedudukan semasa carta kejuaraan Moto2 setakat GP Austria :
| Kedudukan | Pelumba | Mata |
|---|---|---|
| 1 | Manuel González | 188 |
| 2 | Arón Canet | 169 |
| 3 | Diogo Moreira | 153 |
| 4 | Barry Baltus | 143 |
| 5 | Jake Dixon | 119 |
Baca juga:


