Ketika saingan kejuaraan dunia MotoGP 2025 memasuki fasa kedua, tumpuan bukan sahaja tertumpu kepada perebutan gelaran juara tetapi juga kepada apa yang bakal berlaku menjelang musim 2026 dan seterusnya nanti.
Seiring dengan ‘silly season’ yang semakin rancak, teka-teki mengenai siapa ke mana akhirnya mula terjawab satu persatu, walaupun masih ada kejutan yang menanti. Berikut adalah perkembangan terkini dalam permainan “musical chair” MotoGP.
Kerusi masih ‘tiada penghuni’
Setakat GP di Brno, masih terdapat empat tempat di grid yang belum disahkan untuk 2026, antaranya termasuk Johann Zarco (CASTROL Honda LCR), Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP), Luca Marini (Honda HRC Castrol), dan Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team).
Namun seperti biasa, kontrak dalam dunia MotoGP sering kali mengandungi klausa yang membolehkan pembatalan lebih awal, sama ada oleh pelumba mahupun pasukan.
Antara isu isu terbesar musim ini melibatkan masa depan Jorge Martin yang menimbulkan pelbagai spekulasi selepas kenyataan terbukanya dikeluarkan pada akhir Mei selepas GP British.Namun, sepanjang hujung minggu GP Belanda, Martin, melalui pengurusnya Albert Valera dan CEO Aprilia Racing Massimo Rivola, mengesahkan bahawa beliau akan kekal bersama Aprilia pada tahun 2026 sekaligus menutup segala kemungkinan dan harapan dalam menutupi kekosongan di pasukan Aprilia dengan kenyataan tersebut apabila ‘The Martinator’ itu kekal di tempatnya.
Pedro Acosta kemungkinan besar sertai VR46?
Pedro Acosta sudah pun mempunyai kontrak bersama KTM untuk 2026, tetapi namanya tetap dikaitkan dengan pasukan VR46. Valentino Rossi sebelum ini pernah mengakui beliau “sangat menyukai Acosta” dan turut meluahkan perasaan “gembira” dengan pelumbanya sekarang. Pengarah pasukan VR46, Alessio Salucci, mendedahkan mereka ada berbincang dengan Acosta sebulan lalu, namun mengesahkan tiada tempat untuknya pada 2026. Namun, rundingan awal untuk musim 2027 sudah pun dimulakan bukan sahaja dengan Acosta, tetapi juga beberapa nama lain.
Zaco & Marini kekal bersama Honda?
Johann Zarco dilaporkan sedang dalam rundingan positif dengan Honda untuk kekal dalam struktur MotoGP mereka, terutama selepas kemenangan manis di Le Mans. Namun, peluang untuk ke pasukan factory Honda semakin pudar apabila Luca Marini disahkan sedang berbincang untuk pembaharuan kontrak, dan laporan dari Brno menyatakan perjanjian hampir dimuktamadkan.
Pasukan LCR di bawah Lucio Cecchinello pula menyatakan hasrat untuk mengekalkan Zarco, namun desas-desus menyebut tempat di garaj sebelah lagi mungkin mengalami perubahan. Sky Sports melaporkan bahawa bintang Moto2, Diogo Moreira, sedang dipertimbangkan untuk kontrak tiga tahun bersama HRC bagi menggantikan Somkiat Chantra.
Eneas Bastianini tukar haluan?
Peralihan Enea Bastianini dari Ducati ke Red Bull KTM Tech3 ternyata tidak berjalan lancar. Prestasi yang tidak konsisten dan memulakan perlumbaan dengan kedudukan terbaiknya di petak 11 dalam grid sepanjang musim turut menimbulkan spekulasi perpindahan. Laporan dari pihak media Itali juga menyatakan beliau sedang mempertimbangkan tempat Jack Miller di Prima Pramac Yamaha yang juga merupakan satu-satunya kerusi yang masih belum terisi di pasukan itu.
Kemasukan pelumba WorldSBK
Impian ramai peminat akhirnya menjadi kenyataan: juara dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu, akan menyertai MotoGP musim depan bersama pasukan Prima Pramac Yamaha. Ia merupakan berita besar yang memberi kesan besar kepada susunan grid 2026.
Sementara itu, pendahulu kejuaraan WorldSBK, Nicolo Bulega, akan kekal bersama pasukan Aruba.it Racing – Ducati dalam WSBK tetapi turut menyertai Ducati sebagai pelumba ujian MotoGP untuk musim 2026, menjelang perubahan besar peraturan pada 2027. Ducati juga dilihat menyokong Bulega untuk masa depan, selain gembira dengan prestasi rookie mereka, Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP).
Setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada mana-mana pasukan, pelumba mahupun pengeluar berhubung perpindahan pelumba bagi musim hadapan. Namun, jika merujuk sejarah ‘Silly Season’, kejutan besar sentiasa menanti dan salah satu yang paling diingati pastinya melibatkan legenda MotoGP, Marc Marquez.
Perpindahan mengejut Marquez ke pasukan Gresini diumumkan tanpa sebarang petanda awal hanya sejurus selepas ketibaannya di paddock Indonesia beberapa tahun lalu. Detik bersejarah itu terus menjadi antara momen paling ikonik dalam dunia MotoGP, dan selagi ‘Silly Season’ belum melabuhkan tirai, tidak mustahil satu lagi kejutan bakal tercipta.
Baca juga:


