Fabio Di Giannantonio sertai Martin, tidak beraksi di Ujian Pramusim Thailand

Pasukan VR46 telah memberikan perkembangan terkini mengenai Fabio Di Giannantonio selepas pelumba itu menjalani pembedahan ekoran kecederaan yang dialaminya di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), minggu lalu.

Di Giannantonio yang mengalami patah tulang selangka pada hari pertama ujian MotoGP pada Rabu lalu, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing hari ini memaklumkan mengenai maklumat lanjut pembedahan pelumba berusia 26 tahun itu.

“Fabio Di Giannantonio telah berjaya menjalani pembedahan pada Ahad, 9 Februari di Itali bagi merawat retakan pada tulang selangka kirinya.

“Pelumba kami terjatuh pada hari pertama ujian di Sepang pada Rabu lalu. Sejurus selepas kemalangan itu, Fabio pulang ke Itali dan terus mendapatkan rawatan di hospital swasta Villa Stuart.

“Di sana, pasukan perubatan yang diketuai oleh Profesor Alessandro Castagna telah menjalankan pembedahan bagi merawat kecederaan tersebut pada pagi Ahad. Pembedahan berjalan dengan lancar dan Fabio kini akan memulakan proses pemulihan dengan segera.

“Matlamat utama adalah untuk memastikan dia berada dalam keadaan fizikal terbaik menjelang perlumbaan pertama musim ini di Thailand dari 28 Februari hingga 2 Mac nanti,” ujar mereka dalam kenyataan tersebut.

Dengan perkembangan ini, Di Giannantonio secara rasmi akan terlepas ujian pramusim di Buriram minggu ini.

Selain itu, juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, turut disahkan tidak dapat menyertai sesi ujian pramusim di Thailand selepas disahkan dua hari lalu oleh pasukannya.

Kedua-dua pelumba ini dijangka menghadapi cabaran sukar apabila terpaksa memulakan musim tanpa banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu mereka. Justeru, mereka perlu segera mencari keserasian sebaik sahaja aksi pembukaan bermula di Litar Antarabangsa Chang pada hujung bulan ini.

Pada 5 Februari lalu, Di Giannantonio, yang bakal menunggang jentera Ducati spesifikasi kilang musim ini, terjatuh ketika cuba melakukan aksi wheelie. Insiden tersebut menyebabkan kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada sesi ujian pramusim dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related