Fermin Aldeguer tidak mahu ambil risiko

Pelumba Gresini Racing, Fermin Aldeguer yang bakal membuat kemunculan sulung di MotoGP musim 2025 mengambil pendekatan untuk berhati-hati dalam sesi ujian musim sejuk (Winter Test) pagi ini, dengan enggan mengambil risiko dalam percubaan tayar.

Menurutnya, keutamaan adalah untuk memasuki perlumbaan pembukaan dalam keadaan fizikal yang optimum dan bebas daripada sebarang kecederaan.

“Saya menggunakan tayar lembut hari ini kerana keadaan medium tidak begitu baik. Seperti yang kita lihat semalam, terdapat banyak insiden melibatkan pelumba terbabas dan mengalami kemalangan, jadi kami tidak mahu mengambil risiko dan lebih berhati-hati.

“Dalam sesi ujian hari ini, saya cuba memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin dan memahami jentera saya secara lebih mendalam. Saya berusaha mencari keserasian dengan gaya tunggangan sendiri dan berusaha memperbaiki prestasi jentera, tetapi kami masih memerlukan lebih banyak masa untuk itu,” katanya ketika mengulas mengenai rekod catatan masanya ketika sesi simulasi.

Beliau turut mengakui merasakan perbezaan ketara antara jentera MotoGP dan Moto2, khususnya dari segi kawalan dan penggunaan tayar.

“Jentera ini jelas berbeza berbanding Moto2. Sebelum ini, saya sering memecut di bahagian tengah litar, tetapi dengan MotoGP, saya perlu lebih berhati-hati dalam cara tunggangan dan memberi tumpuan kepada brek saya. Brek jentera MotoGP jelas lebih kuat dan ia turut dipengaruhi dengan kadar kelajuan.

“Dari segi tayar, saya merasakan tayar Michelin ini mempunyai kadar ‘drop’ yang lebih ketara. Jika dibandingkan dengan tayar yang saya gunakan sebelum ini, saya masih memerlukan masa untuk mempelajari dan menyesuaikan diri sepenuhnya,” tambahnya.

Pelumba berusia 19 tahun ini mencuri tumpuan dalam sesi ujian sebelah pagi apabila mencatatkan masa luar biasa 1:57.545 saat, sekaligus menyertai ‘kumpulan 1:57’ yang dihuni pelumba-pelumba berpengalaman.

Catatan ini bukan sahaja membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri dengan jentera baharu, malah memberi gambaran bahawa beliau mampu menjadi ancaman dalam saingan musim 2025.

Pelumba Sepanyol ini akan turun untuk sesi ujian sebelah petang dan sesi ujian hari ketiga di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) , Malaysia esok dengan fokus memperkukuhkan pemahaman terhadap jentera baharu bagi menghadapi cabaran sebenar di litar apabila musim baharu bakal bermula tidak lama lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related