Ketua pasukan MotoGP Yamaha, Maio Meregalli, menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi kewangan KTM yang kini sedang menghadapi krisis besar.
Pada akhir tahun lalu, KTM mengejutkan dunia permotoran apabila memasuki pentadbiran sendiri akibat hutang berjumlah kira-kira €1.8 bilion. Walaupun begitu, mereka menegaskan bahawa krisis ini tidak akan menjejaskan program perlumbaan mereka di MotoGP.
“Itu bukan situasi yang baik untuk mereka ataupun untuk kami sebagai pasukan,” kata Meregalli kepada GPOne.
“Saya hanya mengetahui mengenai masalah kewangan mereka menerusi apa yang saya baca sahaja. Saya tidak tahu apakah akibatnya tetapi apa yang saya pasti adalah mereka menafikan bahawa mereka akan menarik diri dari perlumbaan MotoGP dan masalah kewangan mereka tidak akan menjejaskan pasukan mereka musim ini.
“Secara jujurnya, agak sukar untuk saya mempercayai kenyataan mereka sepenuhnya tetapi kami dari pihak Jepun juga bimbang dengan apa yang akan terjadi kepada mereka, tetapi kami tidak tahu secara terperinci mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Yamaha juga turut menyatakan mereka tidak asing dengan masalah, tetapi isu mereka kekal dalam konteks perlumbaan sahaja.
Musim ini, dengan penambahan pasukan satelit Pramac dalam pasukan Yamaha sudah pasti akan memberikan kelebihan besar, dengan bilangan pelumba yang berganda jelas dapat membantu mereka untuk mendapatkan data yang lebih banyak.
Namun, masalah kewangan KTM menjadi kebimbangan buat semua pengeluar pesaing di MotoGP yang sudah pasti tidak mahu menyaksikan mana-mana pasukan mengikuti jejak langkah Suzuki.
Walaubagaimanapun, KTM dilaporkan sedang melaksanakan pelan 100 langkah untuk menangani isu kewangan mereka sambil mengekalkan komitmen dalam MotoGP. Meskipun begitu, mereka tidak dapat menghentikan khabar angin yang masih berlegar mengaitkan bintang muda mereka, Pedro Acosta, dengan perpindahan ke pasukan lain.

Walaupun KTM optimis bahawa krisis ini tidak akan menjejaskan prestasi di litar, tekanan kewangan mereka terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pasukan lain.
MotoGP musim ini dijangka lebih menarik dengan perhatian kini tertumpu kepada bagaimana KTM akan mengatasi cabaran ini tanpa mengorbankan kedudukan mereka sebagai salah satu pasukan terkemuka di atas litar.
Baca juga:


