500 Sukarelawan diperlukan bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia

Nak rasa pengalaman di belakang tabir perlumbaan Formula 1? Ini peluang anda!

Sebanyak 500 orang sukarelawan bakal digerakkan bagi membantu menjayakan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

Inisiatif sukarelawan berkenaan dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Rahimi Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Puan Azura Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif SIC, YBrs. Encik Azhan Shafriman Hanif.

SIAPA BOLEH MEMOHON?

Permohonan dibuka mulai 2 September 2026 (Rabu) secara dalam talian menerusi Sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
Antara syarat yang ditetapkan:

  • Warganegara Malaysia
  • Berusia 18 tahun dan ke atas
  • Sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit
  • Berdisiplin, berintegriti, mampu bekerja dalam kumpulan serta mempunyai toleransi yang tinggi
  • Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Kebolehan berbahasa asing menjadi satu kelebihan

Sukarelawan terpilih akan bertugas di bawah seliaan JBSN menerusi inisiatif Rakan Muda, dengan penempatan melibatkan empat skop utama:

  1. Perkhidmatan pelanggan
  2. Tiket dan kemasukan
  3. Perhubungan / penyambut tetamu
  4. Pengurusan kawasan MADANI

PERMOHONAN TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA

Bagaimanapun, jumlah permohonan yang tinggi menyebabkan Sistem MyProfil mengalami aliran trafik luar biasa, sekali gus menyukarkan orang ramai untuk mengakses sistem permohonan.
JBSN memaklumkan bahawa tindakan teknikal segera sedang dilaksanakan bagi memulihkan sistem permohonan.

AWAS POSTER DAN QR CODE PALSU!

Dalam masa sama, JBSN turut mengesan poster palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab berkaitan pengambilan sukarelawan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.

Poster berkenaan memaparkan kod QR tidak sah yang membawa pengguna ke halaman yang tidak ditadbir atau diselia oleh JBSN dan IYRES.

Orang ramai dinasihatkan supaya hanya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi JBSN, KBS dan agensi di bawah KBS.

Permohonan hanya boleh dibuat melalui kod QR pada poster rasmi atau sistem MyProfil IYRES.

Bagi yang berjaya terpilih, ini bukan sekadar peluang menjadi sukarelawan — tetapi peluang untuk turun ke litar, merasai sendiri suasana perlumbaan Formula 1 dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjayakan acara bertaraf antarabangsa di Malaysia.

Formula 1 kembali ke Sepang. Kini, anda pula boleh menjadi sebahagian daripada ceritanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related