50 Mata Sahaja! Kejuaraan Dunia Masih Belum Berakhir

Selepas separuh musim 2026, Kimi Antonelli mendahului kedudukan mata dengan kelebihan 50 mata mengatasi pencabar terdekatnya, Lewis Hamilton. Kelebihan 50 mata mungkin nampak besar, tetapi dengan beberapa perlumbaan masih berbaki, jurang tersebut boleh hilang dengan sangat cepat.

Secara teori, adakah 50 mata itu besar atau kecil dalam dunia F1?

Dalam F1, kejuaraan bukan hanya dimenangi dengan mengumpul mata. Ia juga boleh berubah apabila pencabar gagal menamatkan perlumbaan (DNF).

Jika kita melihat kepada sistem penskoran F1, pemenang akan meraih 25 mata penuh.

P1 = 25 mata
DNF = 0 mata

Bermakna, jika pendahulu mata gagal menamatkan perlumbaan sebanyak dua kali manakala pencabarnya memenangi kedua-dua perlumbaan tersebut, mata mereka akan terikat!

Sprint Race Memainkan Peranan Penting

Pelumba F1 bukan sahaja boleh memperoleh mata menerusi perlumbaan hari Ahad, mereka juga berpeluang menambah mata menerusi Sprint Race. Dengan kehadiran format Sprint Race, pemenang boleh menambah sebanyak 8 mata lagi!

Di sinilah konsistensi memainkan peranan penting dalam menentukan kejuaraan. Sekiranya pesaing di tempat kedua sentiasa mendapat mata tambahan manakala pendahulu mata mengalami masalah reliabiliti, jurang mata boleh dirapatkan.

Defisit 104 Mata Kepada 2 Mata

Melihat kepada sejarah F1, terutama pada tahun 2025, kita dapat melihat Max Verstappen yang pada awalnya tidak disangka berada dalam persaingan utama kejuaraan dunia, berubah menjadi pencabar utama kepada duo McLaren.

Seusai GP Belanda, Oscar Piastri mendahului dengan kelebihan 34 mata di hadapan rakan sepasukannya, Lando Norris, manakala Verstappen ketinggalan jauh dengan defisit 104 mata.

Siapa sangka, jurang 104 mata itu akhirnya berjaya dipotong oleh Verstappen menjelang GP Qatar, dengan hanya berbaki satu perlumbaan.

Meskipun pada akhirnya Verstappen tewas kepada Norris dengan perbezaan hanya 2 mata, kegigihannya mengejar kejuaraan dunia walaupun sudah ketinggalan jauh membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam F1.

Semuanya Masih Belum Berakhir

Apa yang berlaku seusai cuti musim panas mungkin lebih penting daripada apa yang berlaku sebelum ini.

Pasukan seperti Ferrari, McLaren, dan Red Bull mempunyai masa sebulan untuk mengenal pasti kekurangan mereka dan mampu mengemas kini jentera masing-masing ke tahap yang lebih baik, sekali gus menyaingi kelebihan yang dimiliki oleh Mercedes selama ini.

Reliabiliti, hentian pit, cuaca, strategi, dan penalti – banyak variasi pemboleh ubah yang dapat menentukan kedudukan pelumba pada separuh musim kedua.

Dengan baki 12 perlumbaan, jika Verstappen mampu mengurangkan defisit 104 mata pada musim lepas, berkemungkinan besar pelumba lain juga mampu melakukan perkara yang sama pada musim ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related