Musim MotoGP 2024 telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada 17 November lalu dengan menyaksikan pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin menewaskan Juara Dunia 2023, Francesco Bagnaia untuk merangkul gelaran Juara Dunia musim ini.
Pada 27 Disember lalu, pihak MotoGP telah mengeluarkan senarai aksi perlumbaan terbaik yang mendapat tempat di hati peminat sukan permotoran dengan lima perlumbaan yang menjadi sorotan sepanjang musim ini.
Bermula di Litar Portimao, Jorge Martin menunjukkan kemampuannya apabila meraih kemenangan penting di Grand Prix Portugal untuk mengungguli carta kejuaraan dunia. Perlumbaan tersebut turut mencipta sejarah dengan kelibat pelumba muda berbakat dari pasukan Redbull KTM Factory,Pedro Acosta yang meraih kedudukan podium buat kali pertama.
Bukan itu sahaja, turut berlaku beberapa insiden dramatik yang melibatkan pelumba Itali, Bagnaia dan Marc Marquez yang turut menyebabkan kekecewaan kepada dua pelumba terkemuka itu.
Paling tidak dapat dilupakan, aksi di Grand Prix America yang menjadi saksi kehebatan Maverik Vinales yang meraih kemenangan epik di Litar COTA dengan menamatkan kemarau kemenangan serta merangkul gelaran pelumba pertama yang memenangi perlumbaan bersama tiga pasukan berbeza. Meskipun Vinales bermula di kedudukan ke-11 grid, beliau menunjukkan posisi kedudukan bukan penghalang untuknya meraih kejayaan.
Aksi di Jerez, Sepanyol merupakan antara perlumbaan yang terpahat di ingatan apabila Bagnaia dan Marc memberikan aksi memukau dengan perlumbaan yang begitu sengit di Grand Prix Sepanyol sejurus selepas Martin mengalami kejatuhan.
Walaubagaimanapun, Marc terpaksa akur apabila kemahiran dan keberaniannya dia atas litar tidak memadai setelah tewas di laman sendiri kepada Bagnaia.Bagnaia jelas enggan memberi laluan mudah sekaligus menoktahkan kemenangan untuk mengekalkan rekod bersih dalam perlumbaan.
Dalam pada itu, Grand Prix Perancis menjadi medan saksi kehebatan pelumba Sepanyol, Martin yang menunjukkan dominasi penuh di Litar Di Le Mans dengan memenangi kedua-dua perlumbaan Sprint dan perlumbaan utama GP . Meskipun berdepan dengan cabaran sukar apabila Marc Marquez dan Bagnaia cuba memberikan halangan namun kecekapan Martin di selekoh akhir tampak sukar dibendung dan berjaya meraih kejuaraan.
Aksi mendebarkan di Litar Phillip Island menyaksikan Marc Marquez menghadapi cabaran besar di awal perlumbaan Grand Prix Australia. Namun, dengan semangat juang yang luar biasa, beliau bangkit dari kesukaran untuk mencabar Jorge Martin dan Francesco Bagnaia sebelum berjaya menyempurnakan selekoh 4 pada pusingan ketiga terakhir untuk mengakhiri perlumbaan dengan penuh bergaya.
Dengan MotoGP 2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, peminat sukan motor serata dunia sudah menantikan persembahan memukau yang bakal disajikan pelumba-pelumba terbaik MotoGP dengan aksi perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mac 2025 dengan aksi pembukaan di Litar Chang, Buriram , di Thailand.