5 Kunci Utama Penentu Perlumbaan Di GP Sepanyol

Selepas sesi kelayakan yang penuh kejutan, tumpuan kini beralih kepada perlumbaan sebenar di Litar Madrid. Berdasarkan simulasi perlumbaan (race pace) dan karakteristik litar jalan raya yang baharu ini, berikut ialah 5 kunci utama yang bakal menentukan siapa yang akan menjulang trofi kejuaraan hari ini:

1. Race Pace dan Degradasi Tayar

Litar jalan raya baharu lazimnya mempunyai permukaan asfalt yang ‘hijau’ (kurang lapisan getah), yang mencetuskan isu ‘graining’ serta haus tayar yang ketara. Walaupun McLaren berada di petak pole, simulasi pemanduan jarak jauh (long run) menunjukkan Mercedes memiliki jentera terpantas dari segi pengurusan tayar, diikuti rapat oleh Red Bull, Ferrari, dan McLaren. Jika Norris gagal mengawal rentak awal, kelebihan petak pertamanya boleh lebur di pertengahan perlumbaan.

2. Drama Safety Car & Virtual Safety Car (VSC)

Berlumba di celah tembok konkrit Madrid yang sempit bermakna ruang untuk kesilapan adalah sifar. Sektor teknikal seperti La Monumental berpotensi besar mencetuskan kemalangan. Kehadiran Safety Car atau VSC bakal menjadi pelampung penyelamat untuk strategi hentian pit ‘percuma’, sekali gus mampu menterbalikkan kedudukan pelumba teratas dalam sekelip mata.

3. Percaturan Strategi Hentian Pit

Memandangkan pemotongan di atas litar dijangka amat sukar, strategi di kawasan lorong pit menjadi medan perang sebenar. Litar Madrid merupakan litar baharu, justeru data tentang strategi hentian pit masih menjadi tanda tanya. Strategi mungkin ditentukan melalui keupayaan pelumba menjaga tayar daripada mengalami degradasi yang teruk. Sekiranya isu degradasi serius, kita berkemungkinan melihat strategi lebih daripada 3 hentian semasa perlumbaan.

4. Bahaya Udara Kotor (Dirty Air) & Isu LICO

Jentera yang mengekori di belakang akan menerima impak hebat daripada udara kotor (dirty air). Udara ini bukan sahaja mengurangkan daya mendakap (downforce), malah memanaskan tayar dan enjin dengan pantas. Pelumba yang terperangkap di belakang jentera lain terpaksa melakukan ‘Lift and Coast’ (LICO) dengan melepaskan pedal gas lebih awal sebelum zon brek demi memelihara suhu brek dan enjin, sekali gus membunuh peluang untuk memotong.

5. Selekoh Pertama Penentu Takhta

Dengan karakter litar Madrid yang sempit dan sukar untuk memotong, selekoh pertama selepas lampu perlumbaan dipadamkan (lights-out) dijangka menentukan 70% keputusan perlumbaan. Jarak peluncuran dari garisan permulaan ke selekoh pertama bakal menjadi medan pertempuran paling berisiko tinggi. Jika Lando Norris gagal mempertahankan kedudukannya daripada serangan agresif Kimi Antonelli dan Max Verstappen di selekoh tersebut, harapannya untuk meraih kemenangan boleh berakhir seawal pusingan pertama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related