Pasukan Yamaha masih berdepan cabaran untuk mendapatkan cengkaman terbaik bagi jentera mereka selepas kedua-dua pelumba, Fabio Quartararo dan Alex Rins, mengakui kesukaran yang dialami sepanjang sesi ujian musim sejuk (winter) pada hari kedua di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) pada Khamis.
Menurut Alex Rins, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menambah baik aspek teknikal jentera mereka, namun masih banyak perkara yang perlu diperhalusi.
“Secara jujurnya, saya masih belum selesa dengan jentera baharu ini kerana terdapat beberapa masalah, terutamanya dari segi brek dan kelajuan. Saya rasa kami memerlukan lebih banyak masa untuk mencuba pelbagai tetapan baharu bagi memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik.
“Dari segi gaya tunggangan saya di Sepang, kami telah mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik jentera serta mencari keserasian yang lebih baik. Kami juga menjalankan simulasi separuh perlumbaan (half race simulation) untuk menilai prestasi tayar dan sistem elektronik kami. Pada hari Jumaat, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan cengkaman jentera,” katanya.
Sementara itu, Quartararo, yang mencatat masa kedua terpantas dengan 1:57.324 saat, turut bersetuju bahawa jentera Yamaha masih memerlukan banyak penambahbaikan.
“Kami sudah melakukan pelbagai usaha dan memberikan yang terbaik dalam sesi ujian ini, tetapi terlalu banyak perubahan yang dilakukan, menjadikannya agak sukar untuk saya memahami dan menyesuaikan diri.
“Dari segi cengkaman, saya merasakan jentera ini masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Namun, menjalankan ujian ini di Sepang adalah keputusan yang tepat, memandangkan keadaan cuaca yang panas memberikan kami data penting.
“Kami juga bergelut dengan tayar. Walaupun tayar medium ini sama seperti yang digunakan di Silverstone dan Barcelona, kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya perhatikan kebanyakan pelumba di sini menggunakan tayar lembut.
“Dari segi enjin, prestasinya lebih baik berbanding tahun lalu, tetapi aspek cengkaman masih menjadi kekurangan utama. Itulah yang akan kami fokuskan dalam ujian ini untuk memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik,” jelasnya.

Pasukan Yamaha terus menunjukkan usaha mereka dalam sesi ujian musim sejuk di Litar Antarabangsa Sepang (PSIC), dengan Fabio Quartararo sekali lagi menjadi antara pelumba utama pada Hari Kedua.
Quartararo memulakan hari dengan cemerlang, mencatat masa terpantas 1’57.324 saat seawal pukul 11:00 pagi, hanya pada pusingan keenamnya.
Selepas itu, fokusnya beralih kepada agenda ujian, namun rancangannya sedikit terganggu akibat hujan renyai pada sebelah petang. Bagi menebus masa yang hilang, pelumba Perancis itu memanfaatkan baki sesi sepenuhnya pada jam terakhir.
Secara keseluruhan, beliau melengkapkan 47 pusingan, dengan catatan masa terpantas yang dibuat pada waktu pagi mengekalkan kedudukannya di tempat kedua, hanya 0.114 saat di belakang pendahulu dalam carta keputusan Hari Kedua dan keseluruhan Ujian Sepang.
Sementara itu, Alex Rins yang mempunyai permulaan kukuh pada hari pertama, berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pusingan dalam sesi ujian rasmi kedua ini. Pelumba Sepanyol itu menumpukan perhatian kepada pengumpulan data dan penilaian komponen baharu.
Namun, cuaca yang berubah pada sebelah petang menyebabkan beliau berehat lebih lama daripada yang dirancang. Walaupun begitu, dengan keadaan trek yang cepat kering, Rins kembali bekerja dalam dua jam terakhir sesi dan terus menguji sehingga masa tamat.
Rins menamatkan Hari Kedua dengan keseluruhan 60 pusingan, dan catatan masa terbaiknya, 1’58.275 saat, yang dibuat pada pusingan ke-23, meletakkannya di kedudukan ke-13 untuk hari tersebut serta ke-14 dalam ranking keseluruhan ujian, dengan jurang 1.065 saat daripada pelumba terpantas.


