Pelumba Maverick Viñales sah tidak akan beraksi pada Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini disebabkan masih menjalani proses pemulihan selepas pembedahan bahu yang dilakukan pada penghujung Mac lalu.
Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu sebelum ini turut menarik diri daripada pusingan di Austin selepas skru daripada pembedahan terdahulu didapati beralih. Walaupun pemulihannya menunjukkan perkembangan positif, Viñales belum cukup cergas untuk kembali beraksi di laman sendiri di Circuito de Jerez.
Pada awalnya, pelumba simpanan Pol Espargaro dirancang untuk menggantikan tempat Viñales. Namun, kecederaan tangan yang dialami menjelang perlumbaan menyebabkan beliau juga tidak dapat diturunkan.
Susulan kekangan masa untuk mencari pengganti yang sesuai, KTM bersama Tech3 mengambil keputusan untuk hanya menurunkan satu jentera bagi saingan di Jerez.
Walaupun berdepan situasi mencabar, pasukan masih mempunyai sandaran utama menerusi Enea Bastianini yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas meraih tempat ketiga dalam perlumbaan Sprint di Austin sebelum ini.
Viñales mengakui kecewa tidak dapat beraksi di perlumbaan penting tersebut, namun menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk pulih sepenuhnya.
“Memang mengecewakan tak dapat berlumba di Jerez, terutama ini perlumbaan di tempat sendiri. Tapi saya kenal keadaan badan saya dan keutamaan sekarang adalah untuk pulih dengan betul supaya boleh kembali dalam keadaan terbaik,” katanya.
Pengurus pasukan, Nicolas Goyon berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan jangka panjang pelumba dan pasukan, selain optimis Viñales mampu kembali beraksi pada pusingan seterusnya di Le Mans.
Sementara itu, pihak pengurusan KTM turut mengakui keputusan untuk hanya menggunakan satu jentera bukan sesuatu yang mudah, namun ia dilihat sebagai langkah paling realistik dalam situasi semasa.
Dengan tumpuan kini terarah kepada Bastianini, pasukan berharap momentum positif yang dibawa dari Austin mampu diteruskan dalam aksi pembukaan musim Eropah di Jerez.
“Saya tak pernah minta situasi macam ini, tapi entah macam mana ia tetap berlaku juga. Memang ada sedikit ironi, tapi realitinya ini bukan cara yang kami mahukan untuk tiba di Jerez. Mula-mula Maverick sedang dalam proses pemulihan, kemudian Pol pula cedera tangan, dan tiba-tiba pelan berubah dengan sangat cepat.
“Kami sudah menilai beberapa alternatif, tapi pada masa sama kami perlu buat keputusan yang masuk akal untuk pasukan dan keseluruhan projek. Perkara positifnya, Enea datang ke hujung minggu ini dengan momentum yang baik selepas Austin, dan itu memberi kami sesuatu yang kukuh untuk dibina menjelang saingan di Eropah,” kata Guenther Steiner, Pegawai Eksekutif Red Bull KTM


