Ujian Dua Hari Misano: Bulega Kuasai Ujian

Walaupun Kejuaraan Dunia MOTUL FIM Superbike World Championship sedang berjalan dalam pada waktu yang sama, aksi di litar tetap diteruskan apabila kebanyakan pelumba turun ke Autodrom Misano untuk sesi ujian rasmi dua hari di Itali.

Ujian ini menjadi medan penting buat setiap pasukan menguji tetapan baharu, mengumpul data serta memperhalusi pakej jentera masing-masing sebelum saingan seterusnya bermula. Di penghujung sesi, Nicolo Bulega (Aruba.it Racing – Ducati) muncul pelumba terpantas keseluruhan selepas menampilkan prestasi konsisten sepanjang dua hari ujian.

Bulega mencatat masa terbaik 1minit(m) 31.769saat (s) pada sesi petang hari kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan kelebihan hampir empat per sepuluh saat berbanding rakan sepasukan, Iker Lecuona. Catatan itu juga lebih pantas daripada rekod perlumbaan sedia ada dan hampir menyamai rekod petak utama, membuktikan tahap prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh Ducati di Misano.

Lecuona pula menamatkan ujian di tempat kedua keseluruhan dengan 1m 32.182s selepas memberi tumpuan kepada pelbagai pelarasan pada Panigale V4R mereka, dengan kedua-dua pelumba melengkapkan 109 dan 163 pusingan masing-masing.

Di belakang mereka, Yari Montella (Barni Spark Racing Team) menamatkan ujian di tempat ketiga dengan catatan 1m32.282s, diikuti Sam Lowes (ELF Marc VDS Racing Team) yang hanya 0.002s di belakang Montella untuk berada di P4. Alberto Surra (Motocorsa Racing) melengkapkan kelompok lima terbaik dengan 1m32.399s, hanya 0.630s daripada masa terpantas Bulega.

Axel Bassani (bimota by Kawasaki Racing Team) berada di P6 dengan 1’32.430s, manakala Garrett Gerloff (Kawasaki WorldSBK Team) di P7 selepas mencatat 1’32.457s. Alex Lowes (bimota by Kawasaki Racing Team) pula di P8 dengan 1’32.488s, diikuti Lorenzo Baldassarri (Team GoEleven) di P9 (1’32.515s) dan Remy Gardner (GYTR GRT Yamaha WorldSBK Team) melengkapkan kelompok 10 terbaik dengan 1’32.561s.

Dalam perkembangan lain, Jake Dixon (Honda HRC) menarik perhatian apabila kembali menunggang CBR1000RR-R selepas berehat panjang akibat kecederaan pergelangan tangan yang dialami di Australia. Ini merupakan kemunculan semula pertamanya sejak insiden tersebut, dan beliau berjaya menamatkan sesi sebagai pelumba Honda terpantas dengan catatan 1’33.941s serta melengkapkan 87 pusingan sepanjang dua hari.

Rakan sepasukan Somkiat Chantra pula mencatat jumlah pusingan paling tinggi keseluruhan dengan 224 lap, sambil merekodkan 1’33.345s untuk menjadi pelumba Honda terpantas keseluruhan ujian ini. Turut membantu program ujian Honda ialah pelumba ujian Jonathan Rea yang turut turun ke litar untuk mengumpul data tambahan.

Pasukan Barni Spark Racing Team turut mencuri tumpuan apabila memperkenalkan kerjasama baharu bersama Suter Industries dalam pembangunan swingarm Ducati dua sisi. Komponen baharu itu digunakan buat pertama kali dalam ujian ini menerusi Yari Montella, yang konsisten di kelompok hadapan sepanjang dua hari.

Sementara itu, Kawasaki terus menunjukkan perkembangan stabil apabila Garrett Gerloff kekal konsisten dengan beberapa keputusan dalam kelompok sepuluh terbaik, menutup ujian dengan hasil positif selepas beberapa pusingan kuat kebelakangan ini.

Yamaha pula masih dalam fasa pembangunan awal musim 2026, namun menunjukkan tanda-tanda peningkatan apabila Andrea Locatelli dan Xavi Vierge semakin hampir dengan kelompok hadapan, dengan Remy Gardner menjadi pelumba Yamaha terpantas keseluruhan di P10.

Di kem BMW, ketiadaan pelumba utama Miguel Oliveira dan Danilo Petrucci akibat kecederaan menyaksikan Michael van der Mark serta Hannes Soomer diberi peluang menguji jentera. Van der Mark menjadi tonggak utama dengan catatan 1’33.119s dan keseluruhan 200 pusingan, manakala Soomer menamatkan ujian di tempat ke-20 dengan 1’34.000s, namun kedua-duanya berjaya mengumpul data penting dengan 367 pusingan keseluruhan.

Secara keseluruhan, ujian Misano ini menjadi platform penting bagi semua pasukan untuk memperbaiki prestasi dan mengumpul data sebelum kembali ke aksi perlumbaan seterusnya, dengan Bulega menutup dua hari ujian sebagai pelumba paling pantas di litar Itali itu.

Keputusan Keseluruhan Ujian Misano (Top 10)

1. Nicolo Bulega (Aruba.it Racing – Ducati) – 1’31.769s

2. Iker Lecuona (Aruba.it Racing – Ducati) – +0.413s

3. Yari Montella (Barni Spark Racing Team) – +0.513s

4. Sam Lowes (ELF Marc VDS Racing Team) – +0.515s

5. Alberto Surra (Motocorsa Racing) – +0.630s

6. Axel Bassani (bimota by Kawasaki Racing Team) – +0.661s

7. Garrett Gerloff (Kawasaki WorldSBK Team) – +0.688s

8. Alex Lowes (bimota by Kawasaki Racing Team) – +0.727s

9. Lorenzo Baldassarri (Team GoEleven) – +0.746s

10. Remy Gardner (GYTR GRT Yamaha WorldSBK Team) – +0.792s

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related