Tour de France 2024 menjadi pentas buat Tadej Pogacar menunjukkan kehebatannya apabila beliau mendominasi perlumbaan tahun ini sekaligus mencipta sejarah dengan menjuarai kedua-dua perlumbaan bagi Giro d’Italia dan Tour de France dalam musim yang sama.
Meskipun tahun ini terdapat kelainan apabila perlumbaan tidak ditamatkan di Perancis akibat persiapan sukan Olimpik, saingan yang berlangsung dari 29 Jun sehingga 21 Julai di Nice menyaksikan Pogacar menamatkan perlumbaan dengan ujian masa sejauh 35km pada peringkat akhir.
Musim 2024 juga menjadi medan buat Pogacar memahat namanya dalam sejarah dengan memenangi enam peringkat perlumbaan, termasuk ujian masa individu pada peringkat terakhir antara Monaco dan Nice. Kemenangan ini memastikan beliau menjadi pelumba pertama sejak Marco Pantani pada tahun 1998 yang memenangi Giro d’Italia dan Tour de France dalam musim yang sama.
Turut mempamerkan aksi memukau, Jonas Vingegaard yang juga merupakan juara bertahan dua kali, menunjukkan saingan sengit tetapi hanya mampu menamatkan saingan di tempat kedua, dengan catatan masa 6 minit 17 saat di belakang Pogacar. Remco Evenepoel juga melengkapkan podium di tempat ketiga, yang turut menjadikan persaingan tahun ini antara yang paling epik dalam sejarah Tour de France.
Dalam masa yang sama, Richard Carapaz mencuri tumpuan pada musim ini selepas memenangi jersi polka dot apabila digelar sebagai Raja Bukit, manakala Lenny Martinez, pelumba muda dari Perancis, menjadi bintang muda yang berpotensi apabila beliau mempamerkan prestasi mengagumkan pada awal perlumbaan.
Sementara itu, Romain Bardet, dalam penampilan terakhirnya, pelumba berusia 34 tahun itu meninggalkan kenangan yang bakal dikenang peminat berbasikal apabila beliau mengakhiri kariernya dengan aksi penuh emosi.
Musim 2024 jelas penuh dengan sejarah dicipta dengan Grand Depart buat pertama kali diadakan di Itali, secara langsung membukai tirai perlumbaan di Florence pada 29 Jun dengan laluan sejauh 3,498 kilometer dan pendakian setinggi 52,230 meter sepanjang perlumbaan jelas menjadi pentas buat pelumba terbaik dunia untuk mempamerkan aksi luar biasa.
Dengan harapan musim depan bakal memberikan saingan sengit dan aksi mendebarkan, Tour de France 2025 yang juga merupakan edisi ke-112 perlumbaan dilaporkan bakal berlangsung bermula 5 Julai 2025 di Lille, Perancis.
Saingan tersebut akan berlangsung sehingga 27 Julai 2025 dengan laluan sekitar negara Perancis, termasuk pendakian bukit ikonik seperti Mont Ventoux dan Col de la Loze sebelum saingan diakhiri di lokasi tradisi, Champs-Élysées, Perancis.