Jorge Prado akhiri musim AMA Supercross 2026 dengan podium

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Jorge Prado, menamatkan saingan AMA Supercross Championship 2026 dengan keputusan podium selepas meraih tempat ketiga dalam perlumbaan terakhir musim di Salt Lake City, Sabtu lalu.

Juara dunia empat kali itu mempamerkan aksi konsisten di Rice-Eccles Stadium apabila mencatat masa kelayakan kelapan terpantas menggunakan jentera KTM 450 SX-F FACTORY EDITION miliknya.

Prado kemudian memulakan Heat Race dengan cemerlang apabila meraih holeshot sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Dalam perlumbaan utama pula, pelumba Sepanyol berusia 25 tahun itu berada dalam kelompok hadapan sejak awal dan sempat naik ke kedudukan kedua sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Keputusan tersebut melengkapkan musim pertama yang memberangsangkan buat Prado bersama Red Bull KTM Factory Racing dalam saingan Supercross. Sepanjang musim, beliau berjaya meraih dua podium serta tujuh lagi keputusan kelompok 10 terbaik untuk menamatkan kejuaraan di tangga kesembilan keseluruhan.

Prado mengakui musim pertamanya dalam Supercross memberikan cabaran besar selepas berhijrah daripada MXGP.

“Musim Supercross ini memang menarik untuk saya. Saya gembira dapat habiskan musim ini dan kembali naik podium pada pusingan terakhir. Saya belajar banyak perkara tahun ini. Sejujurnya, saya fikir peralihan dari MXGP ke Supercross akan lebih mudah, tetapi Supercross adalah dunia yang sangat berbeza,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya Eli Tomac mengalami nasib malang selepas terjatuh awal dalam Heat 2 kategori 450SX. Juara dua kali kelas premier itu terpaksa menarik diri daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengalami hentakan kuat pada bahagian perut dan pinggul.

Sebelum insiden tersebut, Tomac tampil cemerlang apabila mencatat masa terpantas sesi kelayakan dengan catatan 49.065 saat. Pelumba berusia 33 tahun itu turut menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan selepas mengumpul empat kemenangan termasuk di Anaheim 1, San Diego, Seattle dan Daytona.

Kejuaraan AMA Supercross 2026 dimenangi Ken Roczen dengan 349 mata, diikuti Hunter Lawrence dan Cooper Webb.

Saingan seterusnya kini beralih ke Pro Motocross Championship yang akan bermula di Pala, California pada 30 Mei ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related