Marc Marquez mencipta salah satu kemenangan luar biasa dalam sejarah MotoGP apabila bangkit daripada kemalangan untuk memenangi perlumbaan Tissot Sprint di Jerez,pada Sabtu.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu mempamerkan aksi dramatik apabila terjatuh, masuk ke pitlane untuk menukar jentera, sebelum kembali ke hadapan dan merampas kemenangan di hadapan rakan sepasukan Francesco Bagnaia.
Perlumbaan pada awalnya bermula dengan baik buat Marquez yang bermula dari petak pertama, namun keadaan tidak menentu terjadi apabila hujan mula turun di pertengahan perlumbaan. Situasi tersebut turut mencetuskan strategi berbeza dalam kalangan pelumba, termasuk keputusan penting untuk menukar jentera.
Ketika mendahului perlumbaan, Marquez terjatuh di selekoh terakhir akibat keadaan litar yang semakin basah, tetapi beliau pantas bangkit dan terus menuju ke pitlane untuk menukar motosikal.
Drama terus memuncak apabila adiknya, Alex Marquez yang ketika itu mendahului perlumbaan, turut terjatuh dalam keadaan hujan lebat. Beberapa pelumba lain seperti Brad Binder juga berdepan situasi sama, menyebabkan kedudukan perlumbaan berubah secara drastik dalam beberapa pusingan terakhir.
Dalam keadaan penuh huru-hara itu, Marquez dan Bagnaia berjaya memanfaatkan strategi tepat untuk kembali ke kelompok hadapan. Marquez kemudian memintas Bagnaia untuk mendahului perlumbaan, sekali gus menamatkan perlumbaan di tempat pertama walaupun sebelum itu jatuh ke kedudukan sejauh P17.
“Saya boleh katakan, dalam satu sudut, saya terjatuh di tempat dan masa yang ‘betul’! Sudah tentu tiada siapa yang mahu terjatuh dan itu adalah kesilapan saya kerana kekal di atas litar, tetapi memang bukan mudah untuk buat keputusan sama ada masuk pit atau teruskan.
“Itu bukan pilihan yang tepat, tetapi nasib baik saya terjatuh di selekoh terakhir: saya tunggu di kawasan gravel sehingga semua pelumba lain melepasi saya, kemudian saya kembali ke pit untuk menukar jentera.
“Apabila saya kembali ke litar, saya sedar saya berada di tempat ketiga, dan kemudian saya berusaha untuk naik ke kedudukan pertama. Kami masih ada kerja yang perlu dilakukan menjelang perlumbaan untuk meningkatkan prestasi, terutama dalam keadaan litar kering,” Ujar pelumba kelahiran Sepanyol itu.
Tempat ketiga menjadi milik Franco Morbidelli dari Pertamina Enduro VR46 Racing Team, yang turut melakukan kebangkitan luar biasa dari kedudukan belakang grid. Keputusan ini menjadikan perlumbaan Sprint di Jerez antara yang paling dramatik musim ini, dengan perubahan cuaca memainkan peranan besar dalam menentukan pemenang.
Baca juga:


