Pasukan Tech3 mengesahkan mereka akan terus menggunakan jentera KTM dalam saingan MotoGP menerusi perjanjian baharu jangka panjang bermula musim 2027.
Walaupun Tech3 memasuki era baharu pemilikan pada musim 2026, pasukan itu menegaskan matlamat mereka kekal sama iaitu untuk terus bersaing di tahap tertinggi bersama sokongan penuh KTM Motorsport menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menerusi perjanjian baharu ini, Tech3 akan terus berfungsi sebagai sebahagian penting projek factory KTM, termasuk menerima sokongan teknikal rasmi dan memainkan peranan besar dalam pembangunan jentera bagi projek empat pelumba KTM.
Ketua Pegawai Eksekutif Tech3, Guenther Steiner berkata kesinambungan kerjasama itu memberikan kelebihan besar menjelang perubahan peraturan teknikal MotoGP yang akan diperkenalkan mulai 2027.
“Dalam dunia perlumbaan, kerjasama paling terbaik selalunya berdasarkan daripada hubungan yang sudah saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Sama seperti Tech3 dan KTM yang sudah lama bekerjasama jadi ianya bukan suatu hubungan yang baru dijalinkan.” katanya.
“Hasil kerja keras Hervé Poncharal dan pasukan sejak beberapa tahun lalu memberi asas yang kukuh. Ini memberikan kelebihan besar apabila MotoGP memasuki era baharu peraturan teknikal,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengarah KTM Motorsports, Pit Beirer turut menyambut positif lanjutan kerjasama tersebut.
“Kami sangat gembira untuk meneruskan perjalanan bersama Tech3. Kami sudah menyelaraskan strategi dan cita-cita untuk menghadapi masa depan MotoGP bersama-sama,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Guenther Steiner dan seluruh pasukan Tech3 atas komitmen serta semangat mereka terhadap projek KTM.
Perjanjian ini juga mengukuhkan komitmen KTM untuk terus memiliki beberapa jentera di grid MotoGP, selain memastikan pembangunan pelumba dapat diteruskan secara kompetitif dalam program mereka. Dan setakat ini, barisan pelumba Tech3 bagi musim 2027 masih belum diumumkan.
Sekadar info, Kerjasama antara Tech3 dan KTM bermula pada 2019 selepas pasukan Perancis itu menamatkan hubungan hampir 20 tahun bersama Yamaha. Perjanjian tersebut membolehkan KTM menambah jumlah jentera RC16 di grid MotoGP daripada dua kepada empat motosikal, sesuatu yang dianggap penting untuk mempercepatkan pembangunan projek MotoGP mereka.
Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer ketika itu menyatakan kehadiran empat jentera di grid memberi impak besar terhadap pembangunan motosikal dan pengukuhan struktur KTM dalam paddock MotoGP.
Sejak bergabung, Tech3 turut membantu KTM meraih beberapa kejayaan penting dalam MotoGP termasuk kemenangan sulung pasukan itu menerusi Miguel Oliveira di GP Styria dan GP Portugal 2020. Pada 2021, KTM dan Tech3 kemudian melanjutkan kerjasama sehingga 2026 dengan KTM mengesahkan Tech3 akan terus menggunakan “empat jentera factory RC16” di grid.
Hubungan rapat kedua-dua pihak juga menjadikan Tech3 sebahagian penting dalam pembangunan teknikal dan program pelumba KTM di MotoGP.


