Sejak tahun 2023, Fabio Quartararo menekankan bahawa Yamaha perlu merevolusikan kaedah kerjanya untuk memperoleh keputusan lebih baik dan dalam masa yang sama meningkatkan prestasi mereka yang semakin merosot ketika ini.
Pelumba Perancis itu turut mengungkapkan keputusannya untuk kekal bersama pasukan Yamaha untuk musim 2025 dan 2026 adalah hasil keyakinannya, bahawa Yamaha bersedia untuk melakukan perubahan baharu.
Namun beliau juga tidak menafikan pernah mempunyai pemikiran untuk mengubah pasukan pada musim lalu.
“Pada September 2023 saya benar-benar mempertimbangkan untuk menukar jenama,” Quartararo mengakui.
“Saya meminta banyak perkara.Saya senaraikan apa yang saya perlukan, saya perlukan jurutera dengan kualiti seperti ini, saya perlukan itu dan ini dan untuk projek musim ini. Saya meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka. Sejak akhir November 2023 mereka telah menunjukkan usaha mereka dalam penambah baikan.
“Antaranya dengan membawa orang baharu, menyediakan bajet besar untuk aerodinamik, enjin, dan tenaga kerja baharu.
“Saya berpeluang mengadakan mesyuarat panjang dengan Max Bartolini. Dalam pasukan Yamaha, masih terdapat kekurangan tenaga kerja seperti Max, tetapi keputusan saya untuk kekal adalah kerana projek ini besar, mereka juga telah melabur banyak duit, dan dalam masa yang sama kesetiaan Yamaha yang membawa saya ke tahap ini. Dari saya sebelum ini yang tiada apa-apa dan merupakan pelumba MotoGP yang langsung tidak dikenali,” ungkapnya lagi.
Pasukan Yamaha jelas bergelut sejak kebelakangan ini meskipun pelumba berusia 25 tahun ini berjaya membawa nama pengeluar Jepun itu di kedudukan tertinggi selepas meraih kemenangan pada 3 tahun lalu.
Quartararo juga merupakan pelumba Perancis pertama yang mencipta sejarah dalam kategori kelas premier apabila muncul sebagai Juara Dunia MotoGP pada tahun 2021. Namun, kemaraan mereka terhenti apabila tiada sebarang rekod mahupun kemenangan yang berjaya diperolehi semenjak tahun 2022.
Dua tahun berlalu, namun pasukan Yamaha menunjukkan peningkatan pada akhir musim 2024 dan ketika sesi ujian apabila Quartararo menunjukkan dominasinya ketika saingan. Beliau dijangka bakal memberikan kejutan pada aksi perlumbaan pertama untuk musim ini yang dijadualkan pada 28 Februari di Litar Antarabangsa Chang, Buriram,Thailand.