Rueda catat rekod sempurna di Philip Island

Tiada siapa dapat menghentikan kemaraan Pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda selepas sekali lagi membuktikan statusnya sebagai Juara Dunia Moto3 2025 apabila menambah kemenangan ke-10 musim ini selepas menewaskan wira tuan rumah, Joel Kelso (LEVELUP-MTA), dalam perlumbaan mendebarkan di Litar Phillip Island.

Rueda menamatkan perlumbaan semalam dengan penuh bergaya selepas bertarung sengit bersama Kelso sejak awal saingan, sementara Alvaro Carpe melengkapkan podium di tempat ketiga. Kemenangan ini turut memastikan Red Bull KTM Ajo dinobatkan sebagai Juara Pasukan Moto3 2025, dengan kedua-dua pelumbanya menaiki podium di Australia.

Walaupun bermula dari petak utama, Rueda tidak dapat mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu selepas Kelso menyusup masuk di Selekoh 2 untuk memintas seawal pusingan 1. Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) turut bermula pantas untuk naik ke Petak 3, menjadikan tiga pelumba teratas segera memisahkan diri daripada kumpulan utama.

Semangat penonton tempatan tidak terhenti disitu namun semakin teruja apabila satu lagi pelumba Australia, Jacob Roulstone (Red Bull KTM Tech3) turut menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas mencatat masa terpantas pada Selekoh 3. Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila pelumba berusia 20 tahun itu terjatuh di Selekoh 6 pada pusingan berikutnya.

Di depan, Kelso dan Rueda terus mempamerkan rentak luar biasa, membuka jurang lebih dua saat dari kumpulan belakang.

Pada selekoh ke-7, Rueda mengambil alih kedudukan pendahulu buat kali pertama dan sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan memberikan fokus penuh. Jurang antara Rueda dan Kelso semakin melebar daripada 3.8 saat kepada lebih tujuh saat menjelang pusingan ke-10.

Walaupun Kelso kekal mengekori rapat di belakangnya, pelumba Sepanyol itu menunjukkan kawalan sempurna, tidak melakukan sebarang kesilapan sepanjang perlumbaan.

Sementara dua pelumba hadapan melarikan diri, pertarungan untuk tempat ketiga berlangsung sengit antara sembilan pelumba. Quiles, Carpe, Taiyo Furusato (Honda Team Asia), Adrian Fernandez (Leopard Racing), Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse), Joel Esteban (CFMOTO Gaviota Aspar Team) dan David Almansa (Leopard Racing) bergasak untuk satu tempat terakhir di podium.

Pada pusingan terakhir, Carpe mempamerkan kecekapan dan keberanian untuk mempertahankan kedudukannya, menghalang serangan Esteban dan Quiles. Esteban menamatkan perlumbaan di tempat keempat keputusan terbaik dalam kariernya manakala Quiles di tempat kelima.

Kelso cuba memberi tekanan di pusingan terakhir, namun jurang 0.4 saat sukar untuk ditutupi. Rueda mengekalkan rentak tanpa cela hingga ke garisan penamat satu lagi kemenangan bergaya buat pelumba muda Sepanyol itu.

Carpe melengkapkan podium untuk memastikan Red Bull KTM Ajo meraikan kemenangan berganda Juara Dunia individu dan Juara Pasukan dalam satu hujung minggu sempurna.

Keputusan Rasmi Moto3 Grand Prix Australia 2025

  1. Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) 🇪🇸
  2. Joel Kelso (LEVELUP-MTA) 🇦🇺
  3. Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) 🇪🇸
  4. Joel Esteban (CFMOTO Gaviota Aspar Team) 🇪🇸
  5. Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) 🇪🇸
  6. Adrian Fernandez (Leopard Racing) 🇪🇸
  7. Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse) 🇮🇹
  8. Taiyo Furusato (Honda Team Asia) 🇯🇵
  9. David Almansa (Leopard Racing) 🇪🇸
  10. Matteo Bertelle (LEVELUP-MTA) 🇮🇹
  11. Cormac Buchanan (DENSSI Racing – BOE) 🇳🇿

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related