Sepang, 8 Mac 2024 – Qabil Irfan, Juara FIM MiniGP Dunia Tahun 2023, bakal menyertai Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) dalam kategori Moto4 bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing untuk musim penuh tahun 2024. Kategori Moto4 ini merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal. Moto4 adalah motosikal fullframe berkuasa 150cc dengan rim 17 inci.
Qabil akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini (10 Mac) bersama ayahnya, Azlan untuk mengikuti ujian pra-musim pada 16 & 17 Mac di Litar Jerez dan akan kekal di sana sehingga Pusingan Pertama di Circuito de Jerez pada 6 & 7 April. Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang 7 pusingan. Qabil juga akan turut serta dalam FIM MiniGP Malaysia Series kategori 190cc pada tahun ini.
Menurut pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin penyertaan Qabil dalam ESBK adalah inisiatif baru selepas kejayaan pelumba muda itu dalam FIM MiniGP Series Malaysia dan juga World Finals.
“Penyertaan Qabil dalam ESBK tahun ini merupakan satu inisiatif baru yang kami ambil untuk memperluaskan lagi karier Qabil. Selepas kejayaannya dalam Kejohanan FIM MiniGP Siri Malaysia dan juga World Finals, kami melihat bahawa pada usia 12 tahun ini, Qabil sudah bersedia untuk mengambil cabaran dalam kategori Moto4 di litar-litar Eropah.
“Ini memberikan peluang baginya untuk mendapatkan pengalaman awal dalam suasana serta persaingan dunia dua roda di Eropah. Pasukan VHC Frando Racing adalah pasukan yang bersedia bekerjasama dengan Qabil, dan mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam kategori Moto4.
“Saya yakin bahawa pengalaman yang diperoleh Qabil dalam kejuaraan ini akan menjadi aset yang berharga bagi perkembangannya. Kami, sebagai pasukan penyokong, akan sentiasa bersama Qabil sepanjang perjalanan ini, dan saya akan turut hadir dalam beberapa perlumbaan untuk memantau kemajuannya di kejohanan ini.”
Berikut adalah Jadual ESBK Tahun 2024:
Ujian Pra-Musim | 16 & 17 Mac | Litar Jerez, Sepanyol
Pusingan 1 | 6 & 7 April | Litar Jerez, Sepanyol
Pusingan 2 | 1 & 2 Jun | Litar Valencia, Sepanyol
Pusingan 3 | 6 & 7 Julai | Litar Estoril, Portugal
Pusingan 4 | 27 & 28 Julai | Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol
Pusingan 5 | 31 Ogos & 1 September | Litar Estoril, Portugal
Pusingan 6 | 26 & 27 Oktober | Litar Navarra, Sepanyol
Pusingan 7 | 2 & 3 November | Litar Jerez, Sepanyol