Qabil Irfan raih kemenangan selepas kembali dari kecederaan

Pelumba muda negara, Qabil Irfan mencuri tumpuan penyokong tuan rumah apabila berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama Idemitsu Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus menghadiahkan sorakan gemuruh buat peminat tempatan.

Beraksi dalam keadaan litar basah semalam, Qabil mempamerkan tunggangan penuh berani sebelum melakukan gerakan penting di selekoh terakhir untuk merampas kedudukan pendahulu dan melintasi garisan penamat di tempat pertama.

Kemenangan itu lebih bermakna buat Qabil yang baru sahaja kembali beraksi selepas hampir dua bulan berehat susulan kecederaan patah kaki ketika beraksi dalam Moto4 European Cup.

Persaingan sengit turut menyaksikan Bintang Pranata dan seorang lagi pelumba Malaysia, Qayyim Razin melengkapkan podium dengan perbezaan masa keseluruhan kurang daripada 0.25 saat.

Mengulas kejayaannya, Qabil meluahkan rasa syukur apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan kemenangan meskipun mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan kembali keyakinan, lebih-lebih lagi dalam keadaan litar basah.

“Alhamdulillah, saya berjaya menang. Pada awal perlumbaan, saya cuba membuat pecutan dan mencari keyakinan semula kerana pada mulanya saya agak hilang keyakinan. Selepas itu, saya cuba mengekalkan konsistensi sepanjang perlumbaan.

“Saya hampir terjatuh kerana terasa terlalu condong ketika mengambil selekoh, tetapi nasib baik masih berjaya mengawal jentera. Saya sangat bersyukur.

“Ia agak sukar kerana ini merupakan kali pertama saya beraksi dalam perlumbaan basah di sini. Keadaannya sangat berbeza, tambahan pula selepas mengalami kecederaan sebelum ini, saya lebih berhati-hati ketika menunggang.

“Saya sangat bersemangat selepas kemenangan ini dan untuk perlumbaan esok, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, kemenangan tersebut menyaksikan Qabil muncul juara baharu dalam kelas Moto4 Asia Cup, sekali gus memberikan suntikan semangat menjelang perlumbaan kedua yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related