Perjanjian untuk mengambil alih Dorna Sports S.L, pihak Liberty Media secara rasmi mengumumkan telah menerima notis dari Suruhanjaya Eropah bagi membuka kertas siasatan dengan lebih mendalam bagi Fasa II dalam proses pengambilalihan MotoGP.
Liberty Media dalam kenyataan rasminya pada 19 Disember lalu menyatakan telah menerima tindak balas positif apabila semua peraturan perjanjian yang diletakkan pada bulan April lalu telah pun mendapat kelulusan.
Setakat sesi pembukaan kertas siasatan Fasa II, didapati semua pihak telah bersetuju untuk melanjutkan proses semakan dan dipercayai bahawa Suruhanjaya Eropah bersepakat untuk mencapai keputusan yang positif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP syarikat Dorna Sports, Caermelo Ezpeleta turut mengungkapkan keterujaannya yang berpotensi untuk bekerja bersama Liberty Media dan menyatakan mereka sudah menjangkakan proses pengambil alihan tersebut akan mendapat kelulusan daripada pihak EU.
“Kami amat teruja dengan potensi untuk bekerjasama dengan Liberty Media. Sementara itu, kami kekal komited terhadap strategi kami untuk membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi dan terus mencatatkan kadar pertumbuhan yang mengagumkan, serta memperluaskan lagi pangkalan peminat global kami yang kini melebihi 500 juta.
Presiden Lembaga MotoGP (Dorna Sports) dan Pengasas Bridgepoint, William Jackson turut mengulas mengenai kolaborasi antara kedua syarikat ini adalah langkah awal dalam mengembangkan lagi MotoGP ke seluruh dunia.
“MotoGP adalah sukan paling mendebarkan di dunia dan mempunyai masa depan yang cerah. Bridgepoint dan CPPIB telah memberikan sokongan besar kepada Syarikat dan sukan ini, dan kekal komited untuk membantu Carmelo serta pasukan untuk terus memacu kejayaan hebat MotoGP sepanjang 18 tahun sebagai pemegang saham bersama.
“MotoGP akan terus bersiap sedia untuk menghadapi masa depan dan mengukuhkan lagi jenama sukan dan hiburan terkemuka ini sambil proses semakan persaingan masih berlangsung. Dengan pangkalan peminat global melebihi 500 juta, MotoGP berhasrat untuk berkembang lebih luas kepada penonton baharu yang muda dengan latar belakang yang berbeza di serata dunia,” katanya lagi.
Pada 1 April 2024, Pihak Liberty Media telah mengumumkan perjanjian baharu untuk memperoleh MotoGP dengan menyaksikan Dorna Sports S.L. sebagai pemegang hak komersial dan televisyen eksklusif MotoGP™,kekal sebagai syarikat kendalian bebas yang dikaitkan dengan saham penjejakan Kumpulan Formula Satu Liberty Media.
Dalam perjanjian tersebut, Liberty Media akan memperoleh sekurang-kurangnya 86% daripada Dorna, dengan pengurusan Dorna mengekalkan kira-kira 14% daripada ekuiti mereka dalam perniagaan. Urus niaga itu mencerminkan nilai perusahaan untuk Dorna atau MotoGP™ sebanyak €4.2 bilion dan nilai ekuiti €3.5 bilion, dengan baki hutang sedia ada MotoGP dijangka kekal selepas ditutup.
Sekadar info, Dorna juga merupakan pemegang hak eksklusif untuk siri perlumbaan motosikal lain, termasuk siri pengumpan MotoGP™ Moto2™ dan Moto3™, Kejohanan Dunia FIM Enel MotoE™, Kejohanan Dunia Superbike MOTUL FIM dan Kejohanan Dunia Lumba Litar Wanita FIM baharu.