Peluang untuk pelumba negara, Muhammad Syarifuddin Azman meraih kejuaraan dunia AP250 di pusingan ke-6 Kejohanan Idemitsu FIM Asia Road Racing (ARRC) 2024 semakin tertutup setelah menamatkan perlumbaan 1 di tempat ke-8.
Aksi pada petang Sabtu itu menyaksikan Syarifuddin atau Damok (Honda Racing Team) tidak berjaya merapatkan jurang kedudukan setelah ketinggalan 32 mata dari pendahulu kejohanan dari Indonesia, Herjun Atna Firdaus dengan 100 mata yang diperolehi setakat perlumbaan pusingan kelima.
Bermula di kedudukan ke-8 di grid, pelumba berusia 23 tahun itu berdepan cabaran sukar untuk mengekalkan posisi tersebut apabila telah dipintas seawal pusingan selekoh ke-9. Namun beliau berjaya bangkit untuk mengatasi tekanan tersebut lalu menempatkan diri di kedudukan ke-8 dalam perlumbaan dengan catatan masa +2.425 saat di belakang pendahulu perlumbaan.
Kedudukan tersebut turut menempatkan Damok di kedudukan ke-5 dalam carta kejuaraan dunia AP250 selepas aksi perlumbaan 1 sebentar tadi.
![](https://tarmacsports.net/wp-content/uploads/2024/12/hsja-10-1024x576.png)
Turut mempamerkan aksi cemerlang, Irfan Haykal mencipta kejutan apabila berjaya meninggalkan Damok dengan satu anak tangga di hadapan setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa +2.156s sekaligus meletakkan pelumba Idemitsu Boon Siew Honda itu ditempat ke-7.
Sementara itu di selekoh kedua terakhir nasib malang dialami satu lagi wakil negara, Emil Idzhar Ezuan (Pitsbike Oneway JRT Tech 2 Racing Team) yang tepaksa keluar dari perlumbaan 1 dengan kekecewaan. Pelumba muda negara itu terpaksa akur apabila gagal menghabiskan perlumbaan apabila berlaku kemalangan yang turut melibatkan pelumba dari Indonesia, Md Diandra Trihardika (Kawasaki ZX5R).
Aksi perlumbaan 1 itu turut menyaksikan barisan pelumba-pelumba dari Indonesia kekal mendominasi perlumbaan apabila berjaya meraih podium dengan Muhammad Kiandra Ramadhipa di tempat pertama, dieekori rapat Md Faerozi Toreqottullah di tempat kedua dan Arai Agaska Dibani Laksana ditempat ketiga.
Pelumba-pelumba negara bakal meneruskan perjuangan mereka dalam saingan aksi perlumbaan 2 yang dijadualkan berlangsung pada esok petang waktu tempatan.