Bintang muda MotoGP, Pedro Acosta meluahkan kebimbangannya terhadap masa depan pasukan KTM yang ketika ini sedang dilanda masalah kewangan besar menjelang musim 2025.
Kebimbangan ini disuarakan oleh pengurusnya, Albert Valera, dalam satu podcast edisi Sepanyol bersama Motorsport.com yang mengungkapkan situasi pasukan pengeluar dari Austria itu sebagai suatu perkara yang tidak dijangka.
“Kami diberitahu bahawa KTM adalah sebuah syarikat gergasi dengan kekuatan kewangan yang besar. Ia adalah satu kejutan besar bagi kami.Tiada sesiapa yang memberi amaran mengenai masalah kewangan semasa ini ketika kami menanda tangan kontrak pada Mei lalu.
Menurut Valera, berita ini sukar untuk diterima, tetapi pihak KTM memberi jaminan bahawa projek MotoGP mereka akan terus berjalan pada tahun depan. Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai kebimbangan mengenai keadaan sebenar yang bakal dihadapi oleh Acosta untuk bersaing pada musim 2025.
“Pada bulan Mei, kami menandatangani kontrak dengan sebuah projek yang menjanjikan kemenangan, dengan syarikat yang mencatat keuntungan puluhan juta euro dan mesej jelas bahawa mereka berada dalam kedudukan kukuh untuk bersaing dengan Ducati. Tetapi sekarang, dalam tempoh enam bulan, keadaan berubah sepenuhnya.
” Meletakkan kepercayaan penuh dengan apa yang dijanjikan oleh mereka agak sukar untuk kami. Selepas ini, kami perlu berhati-hati dan menilai setiap janji mereka dengan teliti. Memutuskan kontrak untuk 2025 pada ketika ini adalah sangat sukar. Anda hanya boleh membatalkan kontrak jika terdapat pelanggaran dari pihak lain, dan setakat ini, KTM belum melanggar sebarang syarat yang dikemukakan,” katanya lagi.
Situasi kewangan KTM yang tidak menentu ketika ini merupakan antara cabaran besar yang harus dipikul Pedro Acosta menjelang musim 2025. Walaupun KTM masih komited untuk terus kekal berada dalam kejuaraan dunia MotoGP, kebimbangan terhadap daya saing mereka tetap menghantui. Namun, dengan bakat luar biasa dan reputasi yang semakin meningkat, Acosta percaya dapat mempamerkan aksi cemerlang dan tetap menjadi aset berharga yang akan sentiasa mendapat perhatian dari pasukan lain jika diperlukan.
Awal bulan November lalu, KTM dilaporkan sedang bergelut dengan hutang sekitar 3 bilion euro dan terpaksa memasuki proses pentadbiran sendiri akibat penurunan jualan motosikal. Sebagai langkah berjimat, pengurusan MotoGP KTM mengambil keputusan untuk menghentikan pembangunan motosikal mereka bagi memastikan projek sukan ini terus berjalan.
Acosta, yang membuat penampilan sulung dalam MotoGP musim ini bersama pasukan Tech3, akan menyertai pasukan kilang KTM menggantikan Jack Miller dan bergandingan dengan Brad Binder pada musim 2025. Namun, Valera mengakui bahawa isu kewangan KTM tidak pernah menjadi pertimbangan semasa kontrak ditandatangani pada Mei lalu.