Marco Bezzecchi ulas perbezaan Ducati dan Aprilia

Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, meluahkan rasa gembira selepas merasakan peningkatan ketara pada jentera baharunya dalam sesi ujian musim sejuk (Winter Test) hari kedua di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) pada khamis.

“Kami telah melakukan beberapa penambahbaikan sejak petang semalam, dan pagi ini saya dapat merasakan jentera kami dalam keadaan yang jauh lebih baik. Saya turun ke litar dengan lebih gembira kerana keyakinan saya semakin meningkat,” katanya.

Bezzecchi turut membandingkan jentera Aprilia baharunya dengan Ducati yang dipandunya musim lalu, menyatakan bahawa tekanan brek berada pada tahap yang sama, namun kini lebih stabil, sekali gus memberikannya keyakinan yang lebih tinggi ketika memasuki selekoh.

“Jentera ini turut memberikan tindak balas yang lebih jelas berbanding semalam. Namun, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki, jadi saya tidak boleh membuat kesimpulan terlalu awal,” tambahnya.

Pada hari pertama ujian di Sepang pada Rabu, Bezzecchi mencatat masa 1 minit 59.207 saat, meletakkannya di tempat ke-18. Walau bagaimanapun, pada hari kedua, beliau menunjukkan peningkatan ketara dengan memperbaiki catatan masa kepada 1 minit 58.5 saat, menduduki kedudukan ke-12 menjelang jam 4:30 petang waktu tempatan.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden yang menimpa rakan sepasukannya, Jorge Martin, Bezzecchi menegaskan bahawa dia tidak berdepan sebarang tekanan meskipun harus mengumpul data seorang diri. Sebaliknya, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan analisis serta maklum balas yang lebih terperinci kepada pasukannya.

“Saya akan cuba memberikan maklumat yang lebih spesifik supaya pasukan dapat memperbaiki apa yang perlu. Dari segi keserasian, saya akui masih banyak aspek yang perlu ditingkatkan dalam gaya tunggangan saya, tetapi saya dapat merasakan perkembangan yang positif hari ini.

“Saya terkejut dengan daya tenaga jentera ini, ia sangat mengagumkan. Bagaimanapun, dari segi kawalan elektronik, masih ada banyak ruang untuk diperhalusi bagi mendapatkan prestasi terbaik,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa perubahan pada tayar baharu memaksanya untuk bekerja lebih keras dalam mencari keserasian dengan gaya tunggangannya. Namun, beliau tidak dapat memberikan perbandingan terperinci dengan jentera Aprilia musim lalu kerana sudah menunggang GP25 sejak sesi ujian di Montmelo.

Ketika ini, Aprilia hanya bergantung kepada Bezzecchi untuk mengumpul data dalam sesi ujian selepas Jorge Martin mengalami kemalangan semalam yang mengakibatkan kecederaan serius. Juara Dunia 2024 itu mengalami keretakan pada tangan kanan serta kaki kiri dan segera dikejarkan ke hospital selepas insiden terbabit.

Difahamkan, Martin telah diterbangkan ke Eropah awal pagi ini dan bakal menjalani pembedahan bagi merawat kecederaannya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related