Grand Prix British 2025 sekali lagi membuktikan Silverstone merupakan antara medan yang sentiasa dianggap sebagai perlumbaan paling mendebarkan dalam kalendar MotoGP.
Sejak tahun 2013, litar ikonik itu tidak pernah menyaksikan pemenang yang sama berulang kali dan tahun ini, rekod itu diteruskan oleh Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) yang mencatat kemenangan pertamanya musim ini dengan aksi bergaya.
Perlumbaan penuh drama ini bermula dengan Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang jatuh selepas melakukan permulaan terbaik musim ini. Malangnya, ketika melepaskan ‘holeshot device’ dengan sudut condongan lebih dari biasa, jentera beliau hilang kawalan dan terjatuh.
Tak lama selepas itu, abangnya, Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) yang juga pendahulu kejuaraan, turut tergelincir di pusingan ke-11. Kedua-duanya tampak tersingkir awal.

Namun perlumbaan dihentikan dengan bendera merah selepas insiden membabitkan Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) dan pelumba wildcard Aleix Espargaro (Honda HRC Test Team) di selekoh Vale yang menyebabkan tumpahan minyak di atas litar. Oleh kerana perlumbaan belum melepasi tiga pusingan, semua pelumba diberi peluang untuk menyertai semula perlumbaan selepas disahkan perlumbaan akan dimulakan semula (restart)
Sebaik perlumbaan disambung semula, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) terus menguasai perlumbaan dengan cemerlang dari petak pertama. Beliau berjaya mencipta jurang dengan pelumba di belakang, dengan Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP) dan Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) memburu di belakang.
Namun, kemunculan Bezzecchi yang memecut dari petak ke-10 mencuri perhatian apabila berjaya menembusi kelompok hadapan. Selepas memotong Zarco dan menduduki tempat kedua, Bezzecchi semakin laju meskipun jarak dengan Quartararo tampak masih terlalu jauh.
Tetapi tiada yang mustahil, apabila peranti ‘rear ride height’ Quartararo mengalami kerosakan, menyebabkan beliau terpaksa mengundurkan diri daripada perlumbaan. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Bezzecchi untuk meraih kemenangan pertama beliau bersama Aprilia, manakala Zarco mengambil tempat kedua dan Marc Marquez yang bangkit dari P9 menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Sekiranya Quartararo tidak mengalami masalah teknikal, kemungkinan besar kita bakal menyaksikan tiga pelumba dan tiga pengeluar yang berbeza di atas podium yang terdiri daripada Yamaha, Aprilia dan Honda.
Bagi Zarco pula, tempat kedua sudah memadai buat dirinya untuk berada di atas podium yang sama dengan tiga pengeluar berbeza, Ducati, Yamaha, dan kini Honda untuk menyamai rekod Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) yang turut memiliki podium bersama tiga jenama.
Dengan kemenangan ini, Aprilia berjaya menjadi pemenang terbaru dalam musim 2025 dan mencatat kemenangan sulung mereka tahun ini sekaligus juga menjadikan tiga pengeluar berbeza telah menang dalam tujuh perlumbaan pertama musim. Kali terakhir pencapaian ini dapat dilaksanakan adalah pada pada musim 2022.

Dalam masa yang sama kemenangan Bezzecchi di Amerika Syarikat bersatu ini (United Kingdom), menyaksikan lima pemenang berbeza dalam lima perlumbaan terakhir: Pecco Bagnaia di COTA, Marc Marquez di Lusail, Alex Marquez di Jerez, Johann Zarco di Le Mans dan kini Bezzecchi di Silverstone.
Aksi MotoGP akan bersambung di Litar Aragon pada 8 Jun ini, sebuah lokasi yang sinonim dengan kehebatan Marc Marquez. Namun, melihat kepada kejutan demi kejutan yang berlaku sepanjang musim ini, tidak mustahil seorang lagi juara baharu bakal muncul untuk mencetuskan saingan yang lebih sengit dan mendebarkan.


