Marc Márquez terlepas GP Perancis

Pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Márquez disahkan akan terlepas aksi Grand Prix (GP) Perancis pada Ahad serta pusingan seterusnya di Barcelona selepas perlu menjalani pembedahan pada bahu kanan dan kaki kanannya susulan kemalangan ketika perlumbaan Sprint di Le Mans semalam.

Juara dunia MotoGP enam kali itu mengalami kemalangan ‘highside’ di selekoh ke-14 pada pusingan kedua terakhir perlumbaan Sprint, yang menyebabkan tulang metatarsal kelima di kaki kanannya patah.

Susulan kecederaan tersebut, Márquez diisytiharkan tidak cergas untuk berlumba dalam perlumbaan utama GP Perancis.Pelumba Sepanyol itu turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya sudah merancang untuk menjalani pembedahan bahu kanan selepas GP Catalunya, namun kecederaan terbaru memaksanya mempercepatkan prosedur tersebut.

Menurut Márquez, masalah bahu itu berpunca daripada kemalangan yang dialaminya ketika GP Indonesia musim lalu. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat komplikasi pada skru yang dipasang hasil pembedahan sebelum ini.

“Kecederaan hari ini ialah patah pada metatarsal kelima di kaki kanan saya dan saya perlu menjalani pembedahan,” ungkapnya.

“Saya belum mengumumkannya sebelum ini, tetapi saya sebenarnya sudah menjadualkan pembedahan bahu kanan selepas GP Catalunya kerana selepas Jerez saya sedar ada sesuatu yang tidak kena.”

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati akibat kemalangan di Indonesia, satu skru telah patah manakala satu lagi bengkok dalam keadaan yang luar biasa. Skru itu menyentuh saraf radial yang sangat penting untuk tangan, dan itu menjelaskan masalah serta kemalangan yang saya alami kebelakangan ini.”

“Kini kami perlu bertenang kerana ia akan menjadi pembedahan yang panjang. Saya perlu kekal positif dan melihat bagaimana keadaan akan berkembang,” tambahnya lagi.

Sebelum kemalangan berlaku, Márquez turut bergelut dengan prestasi motosikalnya walaupun memulakan perlumbaan dari petak kedua. Beliau kehilangan lima posisi pada awal perlumbaan sebelum terjatuh pada pusingan ke-12.

Sementara itu, rakan sepasukannya Francesco Bagnaia berjaya menamatkan perlumbaan Sprint di tempat kedua buat Ducati Lenovo Team selepas memulakan perlumbaan dari petak utama.

Ketiadaan Márquez dijangka menjadi tamparan besar buat Ducati dalam perebutan kejuaraan musim ini, dengan pelumba itu kini perlu memberi fokus penuh kepada proses pemulihannya sebelum kembali beraksi di MotoGP.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related