Marc Marquez raih kemenangan sempurna

Perlumbaan pembukaan musim MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand menyajikan pertarungan sengit antara dua beradik, Marc Marquez dan Alex Marquez.

Enggan berpuas hati dengan sekadar trofi Sprint Tissot yang diperolehinya semalam, Marc sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan melakukan pecutan luar biasa untuk merangkul kejuaraan GP Thailand yang penuh dengan aksi dramatik hingga ke selekoh terakhir untuk Ducati Lenovo Team.

Dengan kemenangan berganda itu, Marc sekaligus menonjolkan penguasaannya dengan jentera baharu Ducati itu meskipun ianya bukan tugas mudah buat juara dunia enam kali itu, apabila Alex (BK8 Gresini Racing) yang menguasai hampir keseluruhan perlumbaan sebelum dikejutkan oleh kepantasan abangnya dalam tiga selekoh terakhir.

Kredit : MotoGP

Dengan strategi dan keberanian, Marc berjaya melakukan gerakan memintas yang sempurna, sekali gus mengenggam trofi GP Thailand. Kemenangan ini bukan sahaja menjadi permulaan ideal bagi cabaran kejuaraan musim 2025, tetapi juga menegaskan dominasi Marc dalam persaingan MotoGP.

Sementara itu, Alex yang menampilkan aksi luar biasa terpaksa berpuas hati di tempat kedua meskipun mengawal perlumbaan untuk tempoh yang panjang.

Rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) pula menampilkan tunggangan yang konsisten dan berhati-hati sepanjang perlumbaan, membolehkannya mempertahankan kedudukan di tempat ketiga serta meraih podium pertamanya musim ini.

Perlumbaan petang ini turut menyaksikan beberapa insiden yang melibatkan pelumba KTM Tech 3, Pedro Acosta yang berdepan nasib kurang baik apabila terbabas di pertengahan perlumbaan, sekali gus memusnahkan harapannya untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

Joan Mir turut berdepan kekecewaan apabila terjatuh, menyebabkan beliau gagal menamatkan perlumbaan pembukaan musim ini.

Dengan aksi penuh dramatik di Buriram, kemenangan Marc Marquez bukan sahaja menandakan permulaan cemerlang bagi musim MotoGP 2025, tetapi turut mencatatkan rekod bersejarah dalam kariernya. Kejayaan ini membawa jumlah keseluruhan podium yang diraihnya kepada 112, menyamai rekod legenda MotoGP, Dani Pedrosa.

Pencapaian ini memperkukuh status Marc sebagai antara pelumba terhebat dalam sejarah sukan permotoran, dan pastinya akan menjadi pembakar semangat buatnya dalam usaha memburu gelaran dunia ketujuh. Kini, dengan momentum yang semakin meningkat, tumpuan terarah kepada pusingan seterusnya di Argentina, pada 14 hingga 17 Mac ini.

Baca juga:


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related