Pentas Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026 kini menjadi saksi pertembungan dua ‘seteru’ akrab dari Asia Tenggara, Hakim Danish (Malaysia) dan Veda Pratama (Indonesia). Selepas tiga pusingan pembukaan musim ini, perhatian peminat sukan permotoran serantau tertumpu kepada prestasi kedua-dua pelumba muda yang membawa nama negara masing-masing di pentas Grand Prix dunia.
Menurut Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, persaingan antara Danish dan Veda merupakan satu kitaran penting yang diperlukan untuk melonjakkan standard sukan permotoran di Nusantara.
Pertembungan ini bukan sekadar kebetulan kerana kedua-duanya lahir daripada program pembangunan bakat Asia. Hakim Danish muncul juara Asia Talent Cup (ATC) 2022, manakala Veda Pratama menjuarai edisi 2023. Selepas berentap sengit dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, mereka kini bersaing secara profesional dalam Kejuaraan Dunia Moto3, berada dalam kelompok elit pelumba terbaik dunia.

Selepas tamat pusingan ketiga musim 2026, jurang prestasi antara kedua-dua pelumba mula kelihatan dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Veda Pratama tampil cemerlang dengan momentum konsisten, kerap berada dalam kelompok 10 terpantas ketika perlumbaan dan kini di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 27 mata. Hakim Danish pula masih dalam fasa penyesuaian dengan jentera Moto3, namun menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya menembusi Q2 dan kini berada di tangga ke-14 dengan sembilan mata.

Mengulas perbandingan tersebut, Zulfahmi menegaskan kejayaan Veda bukan satu ancaman, sebaliknya satu perkara positif untuk perkembangan sukan permotoran Asia Tenggara.
“Sebenarnya kita perlukan Veda. Sebelum ini tahap pelumba Indonesia tidak sama seperti kita, tetapi sekarang mereka ada Veda. Ini adalah persaingan yang sihat untuk sukan ini,” katanya.
Beliau turut mengakui kelajuan Veda yang sedang berada pada tahap terbaik. “Momentum dan kelajuan Veda di atas litar sekarang memang sukar untuk kita tandingi buat masa ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zulfahmi tidak berselindung mengenai aspek teknikal yang perlu diperbaiki oleh Danish. Menurut beliau, gaya tunggangan pelumba kelahiran Terengganu itu masih perlu disesuaikan dengan karakter jentera Moto3 yang sangat sensitif.
“Danish perlu memperbaiki kedudukan aerodinamik kerana kita kehilangan kelajuan di litar lurus. Selain itu, tumpuannya terhadap hard braking memberi kesan kepada momentum kelajuan di selekoh. Ini sedang kami usahakan,” jelasnya.
Untuk menghadapi cabaran lebih getir di litar Eropah, Zulfahmi mengesahkan Danish tidak akan pulang ke tanah air. Sebaliknya, beliau memilih untuk kekal di Jerez, Sepanyol bagi menjalani latihan intensif.
“Danish sendiri mahu kekal di Sepanyol. Dia sedar litar Eropah lebih mencabar dan kami mahu dia fokus sepenuhnya tanpa gangguan. Matlamat kami adalah untuk merapatkan jurang dan kembali bersaing di kelompok hadapan,” katanya.
Walaupun tekanan dan perbandingan netizen dianggap lumrah dalam sukan profesional, Zulfahmi tetap menaruh harapan tinggi agar Danish terus berkembang dan suatu hari nanti mampu menyaingi kehebatan pelumba jiran itu.
“Ini sukan dan kita kena terima. Kita semua mahu lihat, bolehkah Danish memintas Veda suatu hari nanti,” ujarnya.
Menurut Zulfahmi, meskipun kutipan mata masih memihak kepada Veda, Danish sebenarnya berada di landasan yang tepat mengikut perancangan pasukan bagi seorang pelumba muda di pentas dunia.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan perkembangan Danish. Prestasinya mungkin belum sepenuhnya seperti dijangka, tetapi tidak teruk. Dia mampu mengutip mata dan bersaing masuk ke Q2, itu satu petanda positif dan pasukan sangat gembira,” katanya.
Seterusnya, pusingan Kejuaraan Dunia Moto3 dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 April di Jerez, Sepanyol, yang bakal menjadi medan penting untuk Hakim Danish merapatkan jurang dengan pesaing utama serantau, Veda Pratama.

