Marc Márquez sekali lagi membuktikan kehebatannya di era Sprint apabila menjadi pelumba pertama dalam sejarah yang memenangi kedudukan petak utama, perlumbaan Sprint, dan perlumbaan utama pada dua pusingan pertama musim ini. Lebih manis, beliau juga menjadi pelumba Ducati pertama yang memenangi dua Grand Prix untuk pembuka musim ini secara berturut-turut.
Márquez memulakan perlumbaan dari petak utama dengan baik, tetapi saudaranya, Alex Márquez, berjaya merampas kedudukan pendahulu pada pusingan keempat. Namun, dengan lima pusingan berbaki, Marc kembali ke hadapan dan terus meninggalkan pesaingnya hingga ke garisan penamat.
Di belakangnya, Alex Márquez (Gresini Racing MotoGP) dan Franco Morbidelli (VR46 Racing Team) melengkapkan podium dengan dominasi Ducati di tempat kedua dan ketiga. Sementara itu, Bagnaia yang bermula dari barisan kedua berjaya memasuki selekoh pertama di tempat ketiga, tetapi kehilangan posisi kepada Morbidelli pada pusingan keempat dan gagal merampasnya semula.
“Rentak perlumbaan sangat luar biasa dan saya mengalami beberapa detik mencemaskan di pusingan terakhir. Alex memberi tekanan sehingga ke garisan penamat dan kami berdua mengekalkan masa serendah 1’38 saat, yang benar-benar membuat perbezaan. Tidak mudah untuk memotongnya kerana satu-satunya peluang adalah di selekoh lima.
“Percubaan pertama saya gagal, tetapi kali kedua saya berjaya kerana berada lebih dekat dengannya. Saya sangat gembira dengan pasukan kerana mereka telah melakukan kerja yang luar biasa. Saya tidak berada dalam keadaan sempurna seperti di Buriram, tetapi catatan masa yang baik tetap dicapai. Saya tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya di Austin,” katanya.
Fabio Di Giannantonio (VR46 Racing Team) turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima, menjadikan lima pelumba teratas dikuasai jentera Ducati.
Marc Márquez dan pasukan Ducati Lenovo menamatkan Grand Prix Argentina dengan kemenangan cemerlang dalam perlumbaan 25 pusingan di Autódromo Internacional de Termas de Río Hondo. Francesco Bagnaia pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Selepas dua pusingan musim ini, Marc Márquez masih mengekalkan rekod sempurna dengan 74 mata, manakala Bagnaia berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 31 mata. Pasukan Ducati Lenovo kini mendahului kedudukan pasukan dengan 117 mata, sementara Ducati mengungguli kedudukan pengeluar dengan 74 mata.
Seterusnya, perlumbaan MotoGP akan diteruskan dalam masa dua minggu lagi di Litar The Americas di Austin, Texas.
Baca juga: