Lorenzo Savadori Puji Kemajuan Besar RS‑GP 2026

Laporan Hari Pertama Shakedown Sepang

Pelumba ujian Aprilia Racing, Lorenzo Savadori, memulakan sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dengan pelbagai komponen baru untuk diuji, daripada pakej aerodinamik serba baharu hinggalah karakter enjin yang telah ditambah baik. Walaupun masih dalam fasa awal, Savadori mengesahkan bahawa versi RS‑GP 2026 sudah menunjukkan peningkatan ketara berbanding model 2025.

Aero Baharu Dengan Fokus Pada Bezzecchi

Hari pertama di Sepang menyaksikan Aprilia membawa perubahan besar pada bahagian ekor, winglet dan keseluruhan fairing. Menurut Savadori, sebahagian besar tugasnya adalah memastikan semua komponen baru sedia untuk pelumba, terutamanya, Marco Bezzecchi untuk sesi ujian minggu ini.

Savadori menjelaskan:

“Kami cuba banyak benda baru termasuk aero. Banyak kerja baru dalam fairing dan kami perlu sesuaikan semuanya supaya ia siap bila Marco mula menunggang. Fokus utama ujian ini memang untuk sediakan bahagian baru untuk Bez.”

“Kalau ada benda baru, saya yang cuba dahulu sebelum dipasang pada jentera Bez, Fernandez atau Ogura. Tapi bila ada empat jentera di litar nanti, ia sangat membantu percepatkan pembangunan.”

Aero baru ini dijangka memainkan peranan penting dalam kestabilan membrek, pengurusan angin di kelajuan tinggi, dan keluar selekoh, tiga elemen kritikal dalam era aero MotoGP sekarang.

Tradisinya, sesi ujian akan mula dengan menguji jentera lama, beralih ke baru, dan kadangkala kembali ke aero lama untuk membuat semakan, bergantung kepada keperluan pelumba seperti Bezzecchi.

Karakter Enjin 2026 Lebih Lancar

Savadori mengakui peningkatan itu:

“Jentera ’26 lebih baik sedikit. Bukan berubah sepenuhnya, tetapi ada peningkatan pada beberapa bahagian. Kami memang buat satu langkah ke depan berbanding ’25.”

Peningkatan karakter enjin ini bertujuan memberikan respon yang lebih bersih di tengah selekoh dan kuasa lebih efektif semasa pecutan.

Savadori memberitahu bahawa RS‑GP 2026 menunjukkan penambahbaikan menyeluruh dalam hampir setiap aspek tunggangan:

“Jentera meningkat dalam semua fasa, brek, kelajuan, top speed, dan keluar selekoh. Kami ubah beberapa butiran kecil dan semuanya berfungsi dengan baik.”

Namun, beliau juga mengingatkan bahawa bacaan di Malaysia kadangkala mengelirukan kerana tahap cengkaman yang luar biasa tinggi di awal tahun:

“Di Malaysia cengkaman sangat tinggi untuk beberapa hari ini. Sangat berbeza berbanding kalau datang pada bulan Oktober.”

Bila Jentera 2027 Akan Muncul?

Savadori turut disoal mengenai prototaip RS‑GP 2027, tetapi beliau mengakui tidak mengetahui jadualnya:

“Ia bergantung pada bila Noale dan Fabiano putuskan semuanya siap. Saya tidak tahu bila.”

Bezzecchi: “Sangat seronok untuk kembali menunggang MotoGP”

Sementara Savadori menguji komponen baru secara intensif, Marco Bezzecchi kembali ke sesi ujian pra musim dengan menunggang jentera RS‑GP 2026 dalam konfigurasi awal. Berdasarkan komen pada hari pertama, Bezzecchi penuh semangat.

“Sangat seronok menunggang MotoGP lagi. Ia sangat laju. Tunggangan pertama sentiasa sangat menyeronokkan.”

“Masih awal untuk komen dengan jelas… tetapi ia menarik. Mereka bawa banyak bahagian untuk dicuba. Kami perlu banyak pusingan untuk mengenal pasti.”

Seperti Savadori, beliau juga menyebut isu kekurangan tayar:

“Kami tidak ada banyak tayar, jadi kami perlu urus dengan baik untuk faham setiap perubahan.”

Sekitar sesi ujian FP1 pada jam 1pm, pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori mencatat tempat ke-15 terpantas dengan catatan masa 1’58.908, dan Marco Bezzecchi di tempat ke-3 dengan catatan masa 1’58.894. Kedua-dua pelumba pasukan Trackhouse Racing yang turut menggunakan jentera Aprilia pula, Raul Ferdandez di tempat ke-13 (1’58.878) terpantas, dan Ai Ogura tempat ke-19 (1’59.588).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related