Manuel Lettenbichler mempamerkan aksi dominan apabila menyapu bersih kemenangan di Pusingan 2 FIM Hard Enduro World Championship menerusi perlumbaan Extreme XL Lagares di Portugal.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu menguasai ketiga-tiga hari perlumbaan, sekali gus meraih mata maksimum dan mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan musim 2026.
Lettenbichler memulakan saingan dengan cemerlang apabila memenangi Endurocode Stage pada hari Jumaat dengan kelebihan lebih tiga minit di laluan sejauh 60 kilometer.
Momentum itu diteruskan pada hari Sabtu dalam perlumbaan Extreme Penafiel, di mana beliau sekali lagi tidak dapat dicabar apabila menamatkan laluan sejauh 120 kilometer dengan kelebihan lebih lapan minit.
Perlumbaan utama pada hari Ahad menyaksikan saingan lebih sengit, dengan pertarungan rapat di kelompok hadapan sepanjang format dua jam tambah satu pusingan. Namun, ketenangan dan konsistensi Lettenbichler menjadi kunci kejayaan apabila beliau menewaskan pencabar terdekat dengan kelebihan kurang lapan saat di garisan penamat.
Kemenangan itu melengkapkan hujung minggu sempurna buat pelumba Jerman tersebut.
“Ini memang hujung minggu terbaik saya dimana saya berjaya memenangi ketiga-tiga hari perlumbaan dan dapat meraih mata maksimum. Saya rasa sangat selesa dengan jentera dan konsisten sepanjang perlumbaan, walaupun laluan sangat mencabar,” kata Lettenbichler.
Keputusan Extreme XL Lagares 2026
- Manuel Lettenbichler
- Mitch Brightmore (+7.9s)
- Teodor Kabakchiev
- Mario Roman
- Billy Bolt
Kedudukan Kejuaraan (Selepas 2/8 Pusingan)
- Manuel Lettenbichler – 61 mata
- Teodor Kabakchiev – 46 mata
- Billy Bolt – 44 mata
- Mitch Brightmore – 43 mata
- Mario Roman – 35 mata
Dengan kelebihan 15 mata di puncak kejuaraan, Lettenbichler kini berada di landasan tepat untuk memburu gelaran dunia kelima berturut-turut.
Aksi seterusnya akan berlangsung di Amerika Syarikat bagi pusingan Silver Kings Hard Enduro pada 18–20 Jun, sebelum beliau mempertahankan kejuaraan di acara ikonik Red Bull Erzbergrodeo di Austria awal Jun.


