Red Bull KTM Factory Racing dan Red Bull KTM Tech3 bersedia untuk menghadapi musim MotoGP 2025 yang turut menandakan penyertaan kesembilan mereka dalam kejuaraan ini, bersama jentera baharu KTM RC16.
Dengan barisan pelumba terkuat setakat ini, seperti Brad Binder dan Petro Acosta dalam Red Bull KTM Factory Racing dan dua pelumba berpengalaman, Enea Bastianini bersama Maverick Vinales untuk Red Bull KTM Tech 3 , KTM bertekad untuk meningkatkan rekod kemenangan mereka dan mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama dalam kejuaraan dunia.
Binder kini memasuki musim keenamnya bersama KTM dalam kelas MotoGP, dengan prestasi yang semakin meningkat setiap tahun. Pelumba Afrika Selatan itu telah menamatkan musim dalam kedudukan enam teratas selama empat tahun berturut-turut dan berada di kelompok lima terbaik dalam dua musim terakhir.
Menurut Brad Binder, musim lalu merupakan tahun yang paling banyak mengajarnya erti MotoGP yang sebenar.
“Sukar dipercayai ini sudah menjadi musim keenam saya di MotoGP. Jujurnya, 2024 adalah tahun yang paling banyak mengajar saya. Memasuki 2025, saya berasa lebih bersedia dan lebih baik sebagai pelumba. Sasaran saya adalah untuk mengambil segala yang saya pelajari dan melonjak ke barisan hadapan.
“Kami tidak berada terlalu jauh di belakang. Kami menamatkan musim lalu di tempat kedua dalam Kejuaraan Pengeluar, jadi hanya ada satu lagi tempat untuk didaki. Saya melihat betapa kerasnya pasukan yang bekerja di kilang, dan tenaga di sebalik tabir sangat luar biasa. Saya yakin kami akan sampai ke tahap yang kami mahukan,” katanya menerusi satu ucapan.
Sementara itu, Acosta, pelumba termuda dalam grid MotoGP 2025, bakal menjalani musim kedua selepas mencipta sensasi pada tahun 2024 dengan lima podium dan kedudukan ke-6 dalam kejuaraan dunia. Kejayaannya dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, Moto3, dan Moto2 membuktikan bakat besar yang dimilikinya, dan kini dia bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh bersama KTM Factory Racing.

Bintang muda berbakat besar itu turut meletakkan harapan tinggi selepas musim rookie yang begitu mengagumkan.
“Musim lalu sangat baik, tetapi masih ada beberapa perkara yang ingin saya capai. Saya belajar bagaimana mengawal perlumbaan dan menyesuaikan diri dengan MotoGP. Berada di pasukan kilang adalah impian yang menjadi kenyataan selepas melalui Moto3 dan Moto2.
“Bersama Brad, saya rasa kami akan menjadi gandingan yang kuat. Dia mempunyai banyak pengalaman dalam kelas ini, dan itu akan membantu saya untuk berkembang lebih cepat. Dua perkara utama yang perlu saya tingkatkan pada 2025 ialah sesi kelayakan dan beberapa pusingan awal perlumbaan
“Kami melihat bahawa kami mempunyai kelajuan untuk bertarung di podium atau untuk menang, tetapi kami sedikit bergelut dalam sesi kelayakan. Jadi, itu akan menjadi keutamaan utama kami tahun ini,” ujarnya ketika majlis pelancaran.
Selain itu, Bastianini dan Vinales pula merupakan muka baharu dalam pasukan, namun mereka membawa pengalaman luas serta rekod cemerlang yang mampu membantu KTM mencapai misi mereka. Bastianini menamatkan musim 2024 di tempat ke-4 dengan sembilan podium, termasuk dua kemenangan, manakala Vinales yang berpengalaman luas dalam MotoGP telah memenangi perlumbaan bersama tiga pengeluar berbeza dan menamatkan musim lalu di tempat ke-7.
Dengan empat pelumba KTM menamatkan musim 2024 dalam tujuh tempat teratas, KTM kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan pada 2025.
KTM menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa musim terakhir, termasuk pencapaian tempat kedua dalam Kejuaraan Pengeluar 2024. Dengan hanya satu kedudukan di hadapan mereka, KTM yakin mereka mampu merebut tempat teratas tahun ini.
Sejak menyertai kelas perdana, KTM telah mencatat tujuh kemenangan Grand Prix dan dua kemenangan Sprint, dan kini mereka berazam untuk menambah angka tersebut pada musim 2025. Dengan empat jentera KTM yang kembali ke grid MotoGP dalam warna ikonik Red Bull, pasukan ini kini memiliki gabungan pelumba dari Itali, Sepanyol, dan Afrika Selatan yang kaya dengan pengalaman serta potensi besar.
Barisan pelumba KTM musim ini mengumpulkan lima kejuaraan dunia dan 72 kemenangan dalam pelbagai kategori, menjadikan mereka antara pasukan paling berdaya saing di grid. Kesemua empat pelumba KTM telah merasai nikmat kemenangan dalam Grand Prix, menjadikan mereka aset berharga dalam usaha KTM mengejar lebih banyak trofi musim ini.


