KTM mengesahkan tidak akan menarik diri daripada menyertai perlumbaan MotoGP pada musim depan meskipun diberikan tekanan dari pemiutang (creditors) untuk keluar dari kejohanan tersebut bagi membantu menjimatkan kos syarikat.
Perkara itu dimaklumkan Motosports sejurus selepas rundingan KTM bersama pemiutangnya pada Jumaat untuk membincangkan masa depan syarikat pengeluar itu yang masih menjadi tanya tanya.
Bagaimanapun, memetik laporan Motomatters.com, persoalan yang berlegar selama ini sudah terjawab setelah jurucakap syarikat itu menegaskan dalam satu kenyataan bahawa KTM akan terus kekal mengambil bahagian dalam MotoGP.
Menurutnya, penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah pengstrukturan semula mereka bagi membantu KTM keluar daripada krisis semasa dan berdiri di atas landasan kewangan yang kukuh semula.
“Hari ini merupakan hari yang bermakna buat KTM dengan proses penstrukturan semula telah pun diluluskan. Ini merupakan hari penting untuk kami melangkah ke depan dengan perancangan baharu ini. Kami dengan bangganya ingin mengesahkan kami bakal kekal menjadi sebahagian daripada kejohanan MotoGP .
“KTM akan kekal komited dalam sukan permotoran dan kami akan membawa semangat ini pada tahun hadapan dengan pendirian teguh untuk meneruskan berlumba dalam kejohanan MotoGP 2025,” jelasnya.
Memetik laporan Autosport pula, KTM ketika ini sedang mencari pembiayaan luar bagi membantu hutang yang ditampung syarikat itu yang bernilai 2.9 bilion euro dengan keadaan jualan mereka yang semakin merosot. Pasukan MotoGPnya turut menghentikan pembangunan RC16 pada awal bulan ini kerana syarikat induknya terus mengalami krisis kewangan yang besar.
Menurut laporan sama oleh AKV, perjanjian asas bersama pelabur berpotensi dijangka akan dicapai pada pertengahan Januari dan pihak yang berminat telah pun menghubungi KTM dan pentadbir penstrukturan semula.
Khabar angin yang menyatakan seramai 500 pekerja yang dipercayai akan diberhentikan pada akhir tahun ini dikurangkan kepada 300 orang dan pada masa yang sama, pekerja telah diberi jaminan bahawa gaji yang tidak dibayar untuk bulan November dan Disember akan dikreditkan, pada bulan Januari.
Mesyuarat seterusnya antara pihak KTM dan pemiutang dimaklumkan akan berlangsung pada 24 Januari 2025.