Jorge Martin, pendahulu Kejuaraan Dunia MotoGP, berjaya menjuarai perlumbaan Tissot Sprint di GP Malaysia, sekali gus mendahului pesaing terdekatnya, Pecco Bagnaia, dengan kelebihan 29 mata. Peluang Bagnaia untuk mempertahankan gelaran Juara Dunia buat tahun ketiga berturut-turut semakin pudar apabila dia terbabas di selekoh 9 dalam usahanya untuk memintas Martin.
Martin, yang bermula dari petak kedua, memulakan perlumbaan dengan cemerlang melalui ‘holeshot’ yang sempurna dan terus mendahului perlumbaan. Sementara itu, Bagnaia dan Marc Marquez turut berada dalam kelompok hadapan, namun di pusingan kedua, Bagnaia hilang kawalan dan terbabas. Kemenangan Martin dan kegagalan Bagnaia menamatkan perlumbaan (DNF) semakin mendekatkan Martin kepada gelaran Juara Dunia. Hanya dengan tambahan 9 mata, Martin berpeluang dimahkotakan sebagai Juara Dunia di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang — kali terakhir litar ini menjadi lokasi penobatan juara kelas perdana adalah pada tahun 2009 oleh Valentino Rossi.
Mengulas tentang perlumbaan hari ini, Martin berkata,
“Ini adalah hari yang sangat baik dan penting. Rentak perlumbaan saya pantas, terutama jika dibandingkan dengan musim lalu, dan kami tidak mempunyai rentak seperti itu sepanjang hujung minggu. Hari ini, kami lebih pantas berbanding sebelum ini, tetapi ada beberapa masalah baru yang timbul yang tidak kami hadapi semalam juga pagi ini. Selepas kemalangan Pecco, agak mencabar untuk mengawal situasi, tetapi saya berjaya melakukannya dengan baik, dan saya gembira dengan keputusan hari ini.”
“Kemalangan Pecco mengingatkan saya untuk terus berhati-hati; saya katakan kepada diri saya, saya perlu habiskan perlumbaan. Pada satu ketika, saya terfikir untuk menunggu Marc (Marquez) dan tamat di tempat kedua, tetapi saya mempunyai kelebihan 0.1 saat, jadi tidak masuk akal untuk perlahan. Saya hanya fokus kepada apa yang saya tahu — menunggang. Saya mengekalkan titik brek saya dan terus meningkatkan jarak. Menamatkan perlumbaan hari ini penting untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Kami berhadapan dengan banyak isu dalam perlumbaan hari ini, jadi kami perlu memikirkan untuk esok.”
Mengulas berkenaan dengan strategi untuk esok, memandangkan persaingan antara Martin vs Jorge adalah seperti dejavu untuk tahun lalu,
“Tahun lalu, saya belum bersedia untuk menang. Saya laju, tetapi saya belum bersedia dan sangat takut dalam situasi yang sukar. Tahun ini, saya rasa lebih matang. Sudah tentu, saya gembira berada di sini dengan kelebihan mata ini. Saya perlu terus fokus; terlalu banyak berfikir tidak akan membantu. Esok akan menjadi perlumbaan yang panjang. Saya rasa Pecco akan mengambil risiko besar untuk cuba menang. Mengalahkannya dalam keadaan ini adalah sukar; dia tiada apa-apa untuk hilang sekarang, jadi perlu beri segala-galanya atau tiada apa-apa. Kami akan memberikan yang terbaik. Kami masih di hadapan yang lain, jadi dalam situasi paling buruk, kami akan cuba tamat di tempat kedua.”
Saya percaya strategi tayar sangat penting. Jika saya tidak berada di tempat pertama dari permulaan, saya mungkin tidak akan menang — saya mungkin tamat di tempat kedua. Memulakan dengan baik sangat penting. Berbeza dengan Enea yang boleh datang dari belakang, adalah mustahil untuk menang tanpa berada di posisi depan dari awal.
Disoal mengenai selekoh 9, selekoh di mana Pecco terbabas,
“Selekoh 9 sangat mencabar sepanjang hujung minggu. Saya mengalami beberapa saat-saat cemas di sana semalam semasa percubaan masa saya, dan hari ini juga. Terdapat tiga jenis asfalt yang berbeza, dan pada beberapa titik, tiada asfalt langsung — seperti motocross. Selekoh ini sangat mencabar, dan anda perlu sangat tepat. Saya akan meluangkan masa untuk menganalisanya.”
“Pagi ini, saya agak gementar. Saya beritahu Gino yang saya akan berusaha. Saya tidak mahu selesai di tempat kedua atau ketiga. Jika Pecco lebih kuat, dia akan menang. Esok, juga akan sama. Jika Pecco jauh lebih kuat, tak mengapa, tetapi saya akan memberikan segala-galanya. Hanya itu caranya untuk saya berada di tahap terbaik dan fokus.”
Untuk Pecco Bagnaia pula, Pecco akur dengan kesilapan pada hari ini,
“Saya telah melakukan kesilapan dan ia sukar untuk diterima, tetapi yang pasti ialah kami akan memberikan segala-galanya dan mencuba sedaya upaya. Jika itu masih tidak mencukupi, kami akan mengambilnya sebagai pengajaran untuk masa depan.”
Prestasi kedua-dua pelumba di Litar Antarabangsa Sepang juga amat mengagumkan apabila mereka berjaya memecahkan rekod All Time Lap Record milik Bagnaia tahun lalu (1:57.491). Martin mencatat masa terpantas 1:56.553 sebelum Bagnaia membalas dengan catatan baru 1:56.337, memecahkan rekodnya sendiri.