Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Jorge Martin ketepikan Marquez, ramal Bagnaia rangkul gelaran Juara Dunia musim ini

Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, telah membuat ramalan berani menjelang musim 2025, dengan memilih Francesco Bagnaia berbanding Marc Marquez sebagai calon utama untuk merebut gelaran juara tersebut.

Kenyataan itu mengejutkan ramai pihak, terutama yang menjangkakan Juara Dunia musim lalu itu bakal meletakkan dirinya sendiri sebagai pelumba di kedudukan teratas bagi menandakan semangatnya untuk mempertahankan gelaran itu.

“Buat masa ini, saya melihat Pecco sebagai pilihan utama, dengan Marc memberikan saingan sengit untuk memintas kedudukan itu.

“Namun, siapa tahu apa yang akan berlaku. Saya tidak menafikan saya juga akan meletakkan diri saya dalam kelompok tiga terbaik dalam memberikan pertarungan sengit dalam beberapa perlumbaan, walaupun saya tahu saya akan menghadapi perlumbaan yang amat sukar. Apa yang penting adalah untuk saya terus memperbaiki diri dan prestasi saya bersama jentera,” katanya ketika ditemubual media Sepanyol, AS pada 28 Disember lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai perasaannya mengenai keputusan pasukan Ducati yang memilih Marc Marquez untuk menggantikannya musim ini. Pelumba Sepanyol itu bagaimanapun mengungkapkan kelegaan telah berjaya merangkul gelaran juara dunia, yang juga merupakan satu pencapaian yang memberinya kepuasan sebelum bersara dari dunia permotoran.

“Ducati telah memberikan saya peluang untuk berada di MotoGP, dan bukan itu sahaja, mereka sentiasa mempercayai saya.

“Mereka telah memberikan kontrak yang baik dan jentera yang sangat bagus. Terutamanya dalam dua tahun terakhir, saya mempunyai jentera yang kualitinya sama seperti Pecco dan Enea Bastianini, bukan itu sahaja saya juga berjaya menewaskan mereka di atas litar. Itu adalah merupakan satu perkara penting dalam hidup saya.

“Saya pernah mempunyai kerisauan sekrianya saya tidak akan memenangi sebarang gelaran dunia sebelum saya bersara dan perkara itu amat memberikan tekanan kepada saya. Saya merasakan seolah-olah saya gagal dalam hidup jika saya tidak mencapai apa yang saya impikan.

“Bila saya berjaya membuktikan kemampuan saya dengan memenangi trofi juara dunia itu, segalanya berubah dan saya juga tidak lagi meragui akan kebolehan diri saya malah ianya membantu untuk melatih saya dalam mempercayai diri sendiri,” ungkap pelumba berusia 26 tahun itu.

Sebelum ini, Jorge Martin dijangka akan dipilih sebagai pelumba utama Ducati. Namun, segalanya berubah apabila pasukan gergasi itu membuat keputusan untuk menggandingkan Marc Marquez dengan Francesco Bagnaia bagi musim 2025.

Meskipun Martin berjaya merangkul gelaran juara dunia bersama pasukan satelit Pramac Racing pada musim 2024, peluang untuk menyertai pasukan utama tidak kesampaian. Kini, beliau bersedia menghadapi cabaran baharu bersama pasukan Aprilia.

Lebih dikenali dengan gelaran ‘Martinator,’ Martin tidak berkecil hati dengan keputusan Ducati. Sebaliknya, beliau bertekad menyesuaikan diri dengan jentera baharu dan bekerjasama dengan rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi, bagi menampilkan aksi terbaik sepanjang musim ini bersama Aprilia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related