Selepas lama berteka-teki, segala persoalan akhirnya terjawab apabila juara dunia 2024, Jorge Martin secara rasmi bakal menggunakan plat nombor #1 pada MotoGP musim ini.
Perkara itu disahkan ketika majlis pelancaran pasukan Aprilia yang berlangsung sebentar tadi di Milan, Itali sekaligus mencipta rekod baharu bagi pasukan itu dengan pertama kali menggunakan nombor 1 dalam kelas premier pada jentera Aprilia.
“Saya tiada keraguan untuk meletakkan nombor #1 di jentera saya kerana saya telah bekerja keras dan berjuang berhabis-habisan untuk nombor ini sepanjang hidup saya. Meraih Juara Dunia dalam MotoGP dan berjaya untuk meletakkan nombor itu pada jentera Aprilia saya adalah suatu yang amat membanggakan.
“Saya berharap dengan nombor ini, ianya dapat memberikan saya motivasi. Saya berasa lebih hebat apabila melihat nombor itu pada jentera saya, saya mengharapkan nombor ini juga mampu membawa saya di kedudukan tertinggi musim ini,” jelas Martin dalam ucapanya ketika pelancaran pasukan Noeale Factory itu.
Dengan keputusan Jorge Martin atau dikenali dengan gelaran ‘Martinator’ itu, kini beliau turut berada dalam senarai pelumba elit yang pernah menggunakan nombor plat #1 pada jentera sekaligus meneruskan tradisi yang dihidupkan semula dalam MotoGP.
Francesco Bagnaia, merupakan pelumba pertama dalam lebih sedekad yang memakai nombor ini selepas merangkul Kejuaraan Dunia 2022. Bagnaia mencipta sejarah dengan mempertahankan gelaran itu pada 2023, menjadi pelumba MotoGP pertama yang mengekalkan plat #1 sejak Mick Doohan semasa era dominasi 500cc, selepas memenangi lima gelaran berturut-turut dari 1994 hingga 1998.

Mempertahankan plat #1 adalah pencapaian yang jarang berlaku, dan hanya segelintir pelumba sahaja yang berjaya melakukannya. Dalam era 500cc, Wayne Rainey merupakan satu lagi pelumba yang turut menyertai Doohan dalam senarai eksklusif ini apabila memenangi tiga gelaran berturut-turut dari 1990 hingga 1992.
Namun, dalam era moden, legenda seperti Casey Stoner, Jorge Lorenzo, dan Nicky Hayden juga pernah memakai plat #1 selepas kempen kemenangan mereka, tetapi gagal mengekalkan kejuaraan itu.
Bagi Martin, cabaran pada musim 2025 sudah tentu lebih besar dari sebelum ini dengan keputusannya meninggalkan Ducati untuk menyertai Aprilia dan membawa plat #1 ke kilang Noale, sudah pasti Juara Dunia 2024 itu berhasrat untuk memberikan kemenangan pertama kepada pasukannya selain daripada mengekalkan gelaran itu.
Namun, sudah tentu ianya bukan perkara mudah dengan pasukan kilang Ducati yang kekal diketuai oleh Pecco Bagnaia dan kelibat pelumba lagenda seperti Marc Marquez dalam pasukan sudah tentu bakal memberikan aksi menarik serta sengit di atas litar.
Dalam masa yang sama, cabaran semakin sengit dengan kehadiran pelumba muda berbakat seperti Pedro Acosta, selain rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi, yang pastinya tidak akan berdiam diri. Pelumba Sepanyol itu harus mempamerkan prestasi cemerlang serta konsistensi untuk kekal berada dalam kelompok pelumba terbaik musim ini.


