Sumbangan jentera lingkungan RM40 ribu pada tahun lalu kepada wakil tunggal negara dalam acara berbasikal lebuhraya di Olimpik Paris 2024 merupakan satu inisiatif yang diambil oleh Presiden Persatuan Motorsports Malaysia (MAM) , Tan Sri Mokhzani Mahathir untuk menyuntik semangat pelumba tersebut.
Beliau percaya kualiti jentera merupakan kunci kepada prestasi, dan dengan penajaan itu diharapkan sedikit sebanyak dapat memberikan dorongan dan sokongan tambahan kepada pelumba negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam mempamerkan aksi terbaik di temasya sukan berprestij seperti Olimpik.
“Saya terbaca dekat surat khabar mengenai empat atlet berbasikal negara bakal mewakili Malaysia di Olimpik dan tiga pelumba merupakan dari Velodrome, manakala hanya seorang sahaja atlet yang mewakili Malaysia dalam sukan berbasikal lebuhraya.
“Dan bagi atlet velodrome sudah pasti basikal mereka canggih, iaitu WX-R custom track tetapi ketika saya membaca surat khabar, saya terfikir jika kita berikan peralatan yang lebih baik kepadanya , peluang untuk berjaya itu akan lebih tinggi.
“Basikal yang kami tajakan itu bernilai sekitar lingkungan RM40,000 ribu dan basikal itu boleh tahan maksimum 5 tahun, dan saya percaya bahawa basikal itu mampu membantu Aisyah mencapai prestasi yang lebih baik ” jelasnya ketika dalam sesi podcast bersama Wheel Talk dari Tarmac Sports.
Beliau turut menjelaskan bahawa sumbangan tersebut adalah hasil perbincangan bersama kumpulan berbasikalnya, ‘Buffalo Soldier’ yang turut terdiri daripada selebriti tanah air seperti Alif Satar, yang bersama-sama turut membantu Aisyah memperoleh jentera baharu dengan berkongsi dana.
Pada 10 Mei tahun lalu, Aisyah, yang merupakan pelumba wanita pertama negara dan ketiga dalam sukan berbasikal lebuh raya berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris setelah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkan slot untuk beliau berentap di sukan berprestij itu.
Aisyah yang menerima jentera baharu sumbangan daripada Mokhzani dan rakannya, bagaimanapun berdepan kekecewaan apabila gagal menghabiskan perlumbaan dan terpaksa menarik diri apabila mengalami kekejangan pada kedua-dua belah kakinya.
Tonton episod penuh bersama Tan Sri Mokhzani disini: