Jack Miller bawa harapan baharu kepada Yamaha

Bekas pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Jack Miller membawa sinar harapan kepada pasukan pengeluar Jepun, Yamaha, yang kini berusaha bangkit daripada kemerosotan prestasi menjelang musim MotoGP 2025.

Penyertaan wajah baharu seperti Jack Miller dan Miguel Oliveira ke dalam pasukan Pramac Yamaha dijangka memberikan peningkatan besar, bukan sahaja dari segi prestasi di litar tetapi juga melalui sumbangan data dan maklumat penting untuk pembangunan jentera Yamaha.

Miller turut berkongsi pandangannya menerusi satu temubual ekslusif bersama Crash.Net mengenai kemajuan yang sedang dilaksanakan terhadap jentera YZR-M1, dengan memuji usaha gigih pasukan itu yang digambarkannya sebagai “pasukan yang rajin dan tidak akan menyerah kalah” dalam usaha untuk kembali relevan.

“Ada sejarah dan penceritaan yang menarik di sebalik jentera itu, dan asasnya amat baik.

“Meskipun mereka bergelut sejak beberapa tahun lalu, tetapi dalam ingatan saya dari saya memulakan kerjaya saya sebagai pelumba MotoGP, jentera itu merupakan idaman semua pelumba.

Beliau turut mengimbau kejayaan pasukan itu dengan beberapa pelumba cemerlang di atas litar seperti Johann Zarco, Jonas Folger, Fabio Quartararo, dan Franco Morbidelli yang pernah meraih podium sebagai pendatang baharu ketika menunggang jentera itu.

Kredit : Red Bull KTM

Namun, Miller mengakui perubahan teknologi MotoGP, seperti peranti ride-height dan aero, telah mencabar kemampuan Yamaha untuk terus kekal relevan.

“Mereka amat bekerja keras untuk bangkit semula musim ini. Keputusan untuk menambah pasukan kedua di grid adalah langkah berani yang wajar dilakukan.

“Jika ianya semudah mengenal pasti satu masalah sahaja, Yamaha sudah tentu dapat menyelesaikannya secepat mungkin. Tetapi ini adalah kombinasi pelbagai faktor seperti cara menggunakan tayar, peranti ride-height, dan aerodinamik.

“Saya rasa mereka menjangkakan peranti ini akan diharamkan sebelum 2027, jadi mereka tidak memberikan tumpuan awal. Tetapi sekarang kita tahu peranti ini akan kekal lebih lama.

Selain itu, beliau turut menyebut perkembangan aerodinamik yang semakin kompleks sebagai cabaran besar yang memerlukan perhatian besar dari segi bajet dan pembangunan.

Pelumba Australia tersebut juga meluahkan keyakinannya terhadap kebangkitan Yamaha di litar, dengan menyatakan mereka mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan teratas pada musim ini.

Kredit : Red Bull KTM

Langkah Yamaha dalam menambah pasukan di grid MotoGP 2025 menandakan isyarat komitmen mereka untuk menjadi pencabar utama. Dengan pengalaman Jack Miller dan Miguel Oliveira, Yamaha jelas mempunyai misi tersendiri untuk kembali kompetitif.

Sebagai rekod, Jack Miller merupakan pelumba Australia pertama yang memenangi perlumbaan MotoGP di Australia sejak tahun 2012 oleh Aus Casey Stoner. Beliau juga mencatat sejarah sebagai pelumba pasukan satelit pertama yang memenangi perlumbaan sejak Toni Elias di Portugal pada 2006.

Bukan itu sahaja, Dalam kelas utama MotoGP, Miller telah memenangi empat perlumbaan setakat ini dengan kemenangan pertamanya diraih pada Dutch TT 2016 ketika bersama Marc VDS Honda. Beliau kemudian meraih dua kemenangan berturut-turut pada Mei 2021 di Jerez, Sepanyol, dan Le Mans, Perancis, ketika menunggang Ducati. Kemenangan keempatnya pula diraih di Motegi, Jepun pada tahun 2022.

Sebelum ini, Miller juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila menamatkan musim sebagai naib juara dalam Kejohanan Dunia Moto3 pada tahun 2014. Pelumba berusia 29 tahun itu, dijangka bakal memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula saingan di atas litar bagi aksi MotoGP 2025 yang dijadualkan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 28 Februari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related